Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan mengetuai satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat secara teliti bagi mengenal pasti motif kejadian pengawal keselamatan yang mengamuk dan menikam pegawai bank sehingga mati di Taman Molek, Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menjalankan siasatan terperinci terutamanya untuk mengetahui motif suspek memasuki bangunan bank berkenaan dan menyerang mangsa.

Katanya, suspek berusia 40-an itu didapati hanya ditugaskan untuk mengawal bahagian bangunan dan tempat letak kereta.

"Siasatan terperinci dijalankan dan kita menyiasat secara menyeluruh dari segenap sudut dan rakaman percakapan akan diambil daripada semua pihak yang boleh membantu termasuk rakan mangsa.

"Polis turut mengingatkan supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian sendiri yang boleh mengganggu siasatan," katanya yang ditemui ketika melawat keluarga mangsa di Tampoi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 4:10 PM