BUBUR kacang hijau dan merah segera diperkenalkan Bean & Beans Manufacturing (M) Sdn Bhd baru-baru ini.
BUBUR kacang hijau dan merah segera diperkenalkan Bean & Beans Manufacturing (M) Sdn Bhd baru-baru ini.

“Ia bermula daripada kisah keluarga kami yang kadang-kadang lapar apabila malam semakin larut. Ketika itu terfikir alangkah baiknya jika ada bubur manis, tetapi penyediaannya mengambil masa lama kerana kacang perlu direbus terlebih dulu.

“Ketika itu yang ada hanyalah mi segera kerana cara menyediakannya mudah dan ringkas. Kami sepakat mencari jalan untuk menyediakan bubur manis dalam masa singkat, namun rasanya tetap kekal tradisional. Paling penting bubur sedap tanpa sebarang bahan pengawet,” kata Pengarah Urusan Bean & Beans Food Manufacturing (M) Sdn Bhd Alfread Wong ketika majlis pelancaran bubur kacang merah dan kacang hijau segera di Hotel Le Meridien baru-baru ini.

Sejak 2009, syarikat itu mengambil masa empat tahun bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk kerana mahukan hasil terbaik dan berbaloi. Teknologi moden banyak membantu syarikat mencapai matlamat.

“Masa yang diambil agak lama kerana tidak mahu mengganggu kandungan nutrisi dalam kacang. Bagi mendapatkan bahan berkualiti, kacang import itu melalui kaedah rebus sampai masak sepenuhnya. Peralatan khas untuk pengeringan dan menyedut kelembapan pada kacang digunakan. Proses ini mengambil masa 24 jam,” katanya.

Produk yang baru dua bulan di pasaran ini menawarkan bubur kacang merah asli, bubur kacang merah bersantan, bubur kacang hijau asli, bubur kacang hijau bersantan dan bijirin campuran terdiri daripada kismis, oat dan badam. Keenakan bubur kacang hijau dan merah Bean & Beans seperti bubur yang dimasak di rumah tanpa pengawet, pewarna dan perasa tiruan.

“Ia benar-benar seperti bubur yang dimasak di rumah, kekal dengan aroma dan keenakannya apatah lagi khasiat kacang untuk menambah pembaikan peredaran darah dalam tubuh. Bagi memenuhi cita rasa, bubur dengan tambahan santan turut diperkenalkan dan santan diproses ringan. Tambahan kampit gula juga diasingkan supaya kemanisan boleh dikawal,” katanya.

Mengutamakan kualiti dan kebersihan Bean & Beans ISO 22000, Piawaian Titik Kawalan Kritikan dan Analisis Bahaya (HACCP) dan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan 98 peratus pekerja adalah muslim.

Walaupun masih baru di pasaran, kini bubur kacang merah dan hijau boleh didapati di pasar raya terkenal seperti 7 Eleven, Giant dan 99 Speedmart dengan pengeluaran 100,000 mangkuk sehari. Syarikat ini juga akan memperkenalkan kacang hijau perisa durian D24, kacang hijau perisa mangga, kacang hijau tambahan bijan hitam dan kacang hijau tambahan pulut hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 12:38 PM