Milan: Tekanan kini terus membelenggu jurulatih Napoli Rafael Benitez (gambar) menjelang kunjungan Palermo ke San Paolo, awal pagi esok selepas kelab Serie A itu mempamerkan aksi hambar pada awal musim.

Harapan Napoli beraksi pada saingan Liga Juara-Juara musim ini lebur selepas tersingkir pada pusingan kelayakan ketiga di tangan Athletic Bilbao.

Selepas tiga aksi Serie A, Napoli ketinggalan enam mata di belakang Roma dan Juventus.

Dengan Inter Milan serta AC Milan dilihat mempamerkan aksi cemerlang musim ini, Napoli diramal berdepan tugas sukar untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Dua kekalahan dalam tiga perlawanan iaitu 0-1 kepada Cheivo diikuti jaringan sama ketika bertemu Udinese menyaksikan permulaan terburuk Napoli dalam tempoh lima tahun.

Benitez dilapor menyebabkan presiden kelab Aurelio De Laurentiis berang selepas berlepas ke Liverpool untuk melawat keluarganya awal bulan ini.

Selepas tewas kepada Udinese Ahad lalu, timbul khabar angin untuk menangguhkan lanjutan kontrak Benitez hingga hujung musim ini.

Napoli dijangka mampu menewaskan Palermo kerana selain kemenangan, ia akan mengheret kelab itu kepada krisis lebih besar menjelang perlawanan dengan Juventus, Roma, Inter dan Milan.

Roma mengungguli carta liga dengan hanya berbeza jaringan berbanding Juventus, tetapi dijangka berdepan tugas sukar di Parma sementara Juventus bertemu Cesena di Turin.

Jurulatih Roma Rudi Garcia dilihat berdepan dilema selepas beberapa pemain berdepan kecederaan termasuk pemain tengah, Daniele De Rossi yang dijangka terlepas kunjungan ke Parma kerana kekejangan betis.

Bergantung kepada keputusan ujian imbasan, De Rossi juga mungkin terlepas perlawanan bertemu Manchester City pada saingan Liga Juara-Juara serta Juventus.

Garcia bagaimanapun mahu setiap pemain kekal fokus tidak kira siapa lawan mereka.

“Mempunyai skuad besar tidak cukup. Setiap pemain perlu kuat dari segi mental dan memberikan segala-galanya pada setiap perlawanan,” kata pengendali dari Perancis itu.

Parma menanti kunjungan Roma selepas mencatat kemenangan pertama musim ini iaitu 3-2 ke atas Chievo dibantu kecemerlangan Antonio Cassano.

Selepas beraksi bersama Itali, Cassano memberi berita baik apabila menyatakan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kelab sambil menambah pendekatan yang dilakukan jurulatih baru Itali Antonio Conte terlalu kasar.

“Setiap pemain Itali berdepan risiko kecederaan di bawah corak bimbingan Conte,” kata Cassano. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 September 2014 @ 1:40 AM