Marc Marquez
Marc Marquez

Sepang: Meskipun sudah mengesahkan kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut, Marc Marquez membuktikan dia tetap dahagakan kemenangan apabila mencatat masa terpantas 1 minit 59.791 saat untuk menyambar petak pertama saingan MotoGP, hari ini.

Lebih menarik, pelumba Repsol Honda itu masih mampu mencatat masa terpantas berbanding pelumba lain meskipun menggunakan jentera kedua selepas terjatuh pada sesi ujian bebas keempat.

“Kami agak bergelut untuk mencari pelarasan terbaik pada sesi ujian bebas malah saya turut terjatuh.

“Mujur pasukan dapat mencari pelarasan terbaik untuk jentera kedua bagi membolehkan saya mencatat masa terpantas.

“Apapun, saya pasti saingan esok (hari ini) cukup sukar, terutama daripada (Dani) Pedrosa,” katanya.

Pedrosa yang juga rakan sepasukan Marquez meraih petak kedua sementara pelumba Movistar Yamaha, Jorge Lorenzo, ketiga.

Dalam saingan Moto2 pula, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah mencatat masa terpantas 2 minit 8.55 saat untuk menyambar petak ke-18 pada perlumbaan hari ini.

Sementara itu, dalam saingan Moto3, Hafiq Azmi muncul pelumba terbaik negara pada sesi kelayakan semalam apabila meraih petak ke-16 pada perlumbaan sebenar hari ini selepas melakukan catatan 2 minit 14.413 saat.

Ramdan Rosli yang beraksi bersama Petronas AHM Malaysia menerusi tiket wild card pula menduduki petak ke-21.

Pelumba berpengalaman, Zulfahmi Khairuddin tidak bernasib baik apabila terjatuh pada awal sesi kelayakan tetapi masih sempat mencatatkan masa berbaki 10 minit terakhir untuk menempah petak ke-22.

Seorang lagi pelumba wild card negara Hafiza Rofa menduduki tempat ke-31.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:10 AM