Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 31, tidak dapat menahan sebak ketika acara tepung tawar dilaksanakan ahli keluarganya di majlis resepsi berlangsung di Kampung Pengantin, di sini, malam tadi.

Siti Elizad ketika ditemui sebaik majlis selesai menyatakan, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih kerana bersanding tanpa ibu tersayang.

Ibunya, Nazariah Mohd Salleh meninggal dunia kerana penyakit `parkinson’, dua tahun lalu.

Sepanjang menderitai penyakit parkinson, Siti Elizad membuat keputusan drastik dengan meninggalkan dunia seni untuk menjaga ibunya sehingga akhir hayat.

"Saya sedih kerana arwah ibu mempunyai impian untuk menganjurkan majlis perkahwinan saya," katanya.

Sementara itu, suaminya, Shamsul Baharin Rahman, 43, dalam ucapannya menjelaskan dia menerima pelakon utama drama rantaian Teman Lelaki Upahan itu kerana Siti Elizad boleh menerimanya yang berstatus duda anak dua.

Siti Elizad sebelum ini mengumumkan sudah bernikah dengan Shamsul, 11 Januari lalu, tanpa diketahui umum atas permintaan keluarga.

Pengumuman dibuat seminggu sebelum majlis resepsi berlangsung mengejutkan peminat pelakon popular itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 11:19 PM