SILVA (kanan) jaring gol penyamaan City.
SILVA (kanan) jaring gol penyamaan City.

London: Manuel Pellegrini menegaskan masih terlalu awal menafikan peluang Manchester City mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas kalah 1-2 di tangan West Ham.

Kekalahan di Upton Park kelmarin yang kedua buat City dalam liga musim ini dan mereka terlepas peluang merapatkan jurang lima mata berbanding pendahulu liga Chelsea.

Keputusan diraih City di timur London melengkapkan minggu buruk buat anak buah Pellegrini, yang beberapa hari sebelumnya mensia-siakan kelebihan dua gol apabila seri dengan CSKA Moscow di laman lawan sekali gus menyukarkan peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Namun pengurus City itu menegaskan anak buahnya tidak bernasib baik tewas di tangan West Ham dan menafikan beliau berasa tertekan selepas permulaan tidak menentu pada kempen kali ini.

"Kami hanya baru memulakan musim, masih ada 80 mata untuk direbut. Ia masih awal. Kami akan terus berjuang kerana belum ada sebarang kejuaraan yang dilepaskan buat masa ini," ujar Pellegrini.

"Saya berasa tertekan seperti sejak perlawanan pertama. Tekanan perkara paling penting buat saya.

"Kami akan cuba menghidupkan peluang dalam Liga Juara-Juara dan tidak akan berputus asa. Kami hanya tidak berhak kalah hari ini," jelas pengendali dari Chile itu.

West Ham mendahului pada babak pertama menerusi Morgan Amalfitano sebelum Diafra Sakho menyumbat gol bagi enam perlawanan liga berturut-turut pada pertengahan babak kedua.

David Silva merapatkan kedudukan, namun anak buah Pellegrini dihukum kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang dengan percubaan Sergio Aguero dan Yaya Toure terkena tiang gol.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:02 AM