PINGAT EMAS
PINGAT EMAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kehadiran Royal Selangor dalam keluarga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) melengkapkan penajaan bagi penganjuran temasya dwitahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa penajaan KL2017 secara rasminya sudah melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Tajaan kini sudah melebihi 103 peratus atau RM82.6 juta dan melangkaui sasaran RM80 juta ditetapkan jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC),” katanya.

Khairy mengumumkan perkara itu pada majlis memeterai kerjasama antara pengeluar pewter Malaysia Royal Selangor dan MASOC.

Pada majlis itu juga Royal Selangor diumumkan sebagai penaja Perak dan akan turut dikenali sebagai ‘Rakan Medal Rasmi’ bagi temasya ini.

Penajaan syarikat itu akan merangkumi wang tunai dan sokongan pemasaran bagi KL2017.

Ia juga membabitkan gabungan usaha pertama antara Royal Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan namun pembabitan syarikat itu dalam industri sukan bukan sesuatu yang baru, malah Khairy mengiktiraf pengalaman luas Royal Selangor dalam menghasilkan pewter berkualiti.

“Walaupun kerja pembuatan pingat adalah tugas penting dan sukar, pemilihan pakar pembuatannya pula sangat mudah.

“Hanya satu nama hadir dalam fikiran saya yang mampu menggalas tanggungjawab dalam mereka bentuk dan mengeluarkan pingat ini dan Royal Selangor adalah pilihan terbaik untuk KL2017,” katanya.

Pingat yang direka khas itu menampilkan kayu kempas dan biji timah sebagai bukan saja mengiktiraf sumber asli rantau ASEAN malah turut melambangkan keistimewaan Malaysia.

Selain daripada pingat, Royal Selangor akan turut mengeluarkan beberapa barangan istimewa untuk temasya KL2017 iaitu arca Rimau (Rimau figurine), pingat peringatan dan pin kolar yang boleh dibeli orang ramai.

Royal Selangor juga mereka bentuk baton digunakan dalam Larian Baton Bangkit Bersama yang mengelilingi seluruh negara yang menyertai KL2017 selain obor untuk Larian Obor 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 9:45 AM