MAHDZIR (dua dari kiri) pada majlis perlancaran MyETF MSCI SEA Islamic Dividend ETF.
MAHDZIR (dua dari kiri) pada majlis perlancaran MyETF MSCI SEA Islamic Dividend ETF.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysia memperkenalkan Dana Dagangan Bursa (ETF) patuh syariah ASEAN pertama di dunia menerusi pelancaran MyETFMSCI SEA Islamic Dividend (MyETF-MSEAD) oleh i-VCAP Management Sdn Bhd (i-VCAP) yang bakal menyenaraikannya di Bursa Malaysia pada 7 Mei ini.

MyETF-MSEAD akan didagangkan di dalam pelbagai saham patuh syariah di rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif i-VCAP, Mahdzir Othman berkata, pengenalan MyETF-MSEAD adalah dana ketiga ETF diuruskannya iaitu MyETF-DJIM25 dan MyETF-MMID yang mana pelancaran MyETF-MSEAD mampu melonjakkan aset di bawah pengurusannya daripada RM350 juta ketika ini kepada RM700 juta dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata, MyETF-MSEAD akan dilaburkan ke dalam beberapa syarikat yang dikenal pasti patuh syariah antaranya Singapore Telecomunications Ltd, Keppel Corporation Ltd, Telekom Malaysia Bhd, Thai Vegetable Oil PCL, Digi.com Bhd dan Ascendas India Trust.

“Pelancaran dana baru ini adalah selari dengan inisiatif Malaysia untuk mempromosi prospek pertumbuhan serta rangka kerja integrasi kewangan Asean.

“Selain itu, MyETF-MSEAD yang patuh syariah diharap dapat menempatkan Malaysia sebagai hab global untuk pelaburan patuh syariah,” katanya pada majlis pelancaran propektus MyETF-MSEAD di sini, semalam.

MyETF-MSEAD adalah dana terbuka dengan saiz dana diluluskan sebanyak 500 juta unit dan pelabur boleh melanggan dana dalam tempoh langganan sehingga 22 April ini pada harga RM1 seunit dengan saiz minimum 100 unit.

ETF adalah mirip unit amanah kecuali ia boleh dijual dan dibeli seperti saham tersenarai kerana diniagakan dalam masa sebenar di bursa saham.

Mahdzir berkata, ETF menawarkan pelaburan bercirikan kos efisien, telus dan mudah bagi pelabur dan ini adalah masanya untuk Malaysia mengikuti arus perkembangan pelaburan semasa.

“Pasaran ETF global kini bernilai RM10.5 trilion dan terus berkembang. Antara sebab pertumbuhannya adalah pelabur di seluruh dunia mula menyedari kemampuannya berbanding Malaysia yang masih baru mengenai dana ini.

“Malahan, pelabur ETF tidak menanggung sebarang caj jualan keluar dan masuk di dalam urusniaganya kecuali caj transaksi biasa melalui pasaran saham,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:17 PM