Ipoh: Juara dunia, Australia semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke pentas final Piala Sultan Azlan Shah selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut, kali ini menewaskan jaguh Asia Korea Selatan 5-2, semalam.

Beraksi lebih tenang berbanding ketika menewaskan skuad negara Isnin lalu, pasukan bimbingan Graham Reid itu menepati status selaku skuad pilihan bagi edisi kali kali.

“Kami tidak boleh terlalu yakin untuk mengatakan sudah hampir ke final sebab ada dua lagi perlawanan dan esok (hari ini) cukup penting kerana bakal bertemu New Zealand.

“Bagi saya, kami perlu memberi tumpuan terhadap setiap perlawanan terlebih dulu sebelum memikirkan soal final,” kata pengurus pasukan Paul Gaudoin.

Korea Selatan lebih dulu berada di depan menerusi gerakan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Kim Seongkyu pada minit ke-17.

Seminit selepas itu, bintang utama Australia Jamie Dwyer berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang.

Australia menambah dua gol lagi menerusi pukulan penalti stroke kapten pasukan Mark Knowles minit ke-22 dan jaringan padang Eddie Ockenden seminit kemudian.

Dywer terus menghampakan Korea Selatan dengan gol keempat pada minit ke-45 sebelum melakar hatrik tiga minit selepas itu.

Korea meraih gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Jang Jonghyun pada minit ke-54.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 8:54 AM