PEJUANG Syiah dan tentera Iraq menjalankan rondaan di Jurf al-Sakhar yang baru ditawan semula daripada militan IS semalam.
PEJUANG Syiah dan tentera Iraq menjalankan rondaan di Jurf al-Sakhar yang baru ditawan semula daripada militan IS semalam.
Reuters

Baghdad: Tentera kerajaan Iraq menawan semula empat perkampungan berhampiran rabung gunung menghadap ke laluan bekalan kumpulan Negara Islam, kata pegawai keselamatan.

Menurut sumber, walaupun mencapai kejayaan itu, pasukan keselamatan sukar membuat kemaraan lanjut kerana berdepan ancaman bom dan jerangkap samar dipasang di tepi jalan serta kediaman.

Katanya, pasukan keselamatan memutuskan untuk bergerak perlahan-lahan dan mengutamakan pertahanan di kawasan baru dikuasai.

“Kami akan membina menara pemerhati, membersihkan kawasan setempat daripada bahan letupan dan membina kubu pasir bagi menghalang militan kembali,” katanya.

Tentera Iraq yang mendapat sokongan militia Syiah memperoleh sedikit momentum kelmarin bagi meningkatkan kempen melemahkan cengkaman militan IS yang menguasai sebahagian besar wilayah utara dan barat negara itu.

Selepas berperang berbulan-bulan, tentera Iraq berjaya memaksa militan IS meninggalkan Jurf al-Sakhar yang terletak di pinggir selatan Baghdad, manakala pejuang Kurdis kembali menguasai bandar Zumar di utara,

Sebelum ini, pemberontak Sunni IS menggerakkan senjata dan bekalan lain dari barat Iraq melalui terowong rahsia di kawasan padang pasir ke Jurf al-Sakhar.

Dengan perkembangan semalam, tentera yakin rangkaian itu dapat dilemahkan.

Operasi terbaru itu juga dirangka untuk meminggirkan pejuang IS yang menguasai bandar Jalawla dan Saadiya, selain memutuskan hubungan mereka dengan kawasan Baquba di timur laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 4:00 AM