Baghdad: Seorang pemimpin kanan Kurdis Iraq mendakwa kumpulan Negara Islam (IS) mempunyai hampir 200,000 militan, enam kali lebih banyak daripada yang disahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Menurutnya, kumpulan itu berjaya merekrut begitu ramai anggota menerusi propaganda dan tawaran gaji hingga lebih RM1,200 sebulan.

“Saya bercakap mengenai ratusan ribu militan, mereka mampu menarik minat remaja Arab di wilayah yang mereka kuasai,” kata Fuad Hussein, ketua turus presiden wilayah Kurdis Iraq, Massoud Barzani, dalam wawancara dengan stesen televisyen Russia, RT, semalam.

Menurutnya, daripada sepertiga wilayah Iraq dan Syria yang dikuasai IS, terdapat antara 10 dan 12 juta populasi yang berpotensi untuk direkrut menjadi militan.

Jumlah yang besar itu membuat IS berjaya dalam kempen ketenteraannya di kedua-dua negara berkenaan.

“Di wilayah Kurdis Oktober lalu, mereka menyerang tujuh kawasan berbeza, termasuk di Ramadi dan Jalawla. Anggotanya tidak takut berperang hingga mati,” kata Fuad.

Menurutnya, kenyataan CIA bahawa IS hanya mempunyai 31,500 militan hanya merujuk kepada pasukan utama kumpulan itu.

“Sepanjang lima bulan lalu, IS menggunakan taktik serangan berani mati, penembak tepat serta kereta kebal. Kemampuannya memliki kereta kebal dan senjata berat dan kelengkapan moden lain menunjukkan ia juga berjaya merekrut bekas tentera Iraq,” kata Fuad.

Sementara itu, pakar Asia Barat dari Britain, Catherine Shakdam berkata, tindak-tanduk IS menunjukkan mereka bersedia melakukan apa saja untuk menang dalam pertempuran.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:01 AM