Ghazali (tiga dari kiri) dan Lodin (tiga dari kanan) pada AGM BHB.
Ghazali (tiga dari kiri) dan Lodin (tiga dari kanan) pada AGM BHB.

Petaling Jaya: Boustead Holdings Bhd (BHB) menerusi anak syarikatnya, Irat Properties Sdn Bhd menyasarkan pulangan antara 18 sehingga 20 peratus selepas mengambil alih kepentingan dalam ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd yang kedua-dua syarikat terbabit mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, dengan pelaksanaan AES di seluruh negara, ia menjadi penyumbang ketara dalam memantau trafik untuk mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa.

“Tugas kami bukan mengeluarkan saman, tetapi menyediakan sistem kamera dan mengenal pasti kawasan untuk menempatkannya sama ada di lebuh raya atau persimpangan lampu isyarat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BHB di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi BHB, Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat.

Sebaik urus niaga pengambilalihan itu selesai, baki kepentingan ekuiti dalam Irat Properties akan terus dimiliki pemegang saham sedia ada, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Irat Holdings Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 1:30 PM