PENDUDUK di Sanaa melihat lubang yang terbentuk selepas serangan udara  yang diketuai Arab Saudi, semalam.
PENDUDUK di Sanaa melihat lubang yang terbentuk selepas serangan udara yang diketuai Arab Saudi, semalam.
SEORANG lelaki dirawat di hospital di Aden selepas melecur ekoran letupan di sebuah depoh senjata di bandar berkenaan, semalam, dipercayai akibat serangan jet pejuang Arab Saudi.
SEORANG lelaki dirawat di hospital di Aden selepas melecur ekoran letupan di sebuah depoh senjata di bandar berkenaan, semalam, dipercayai akibat serangan jet pejuang Arab Saudi.
AP

Sharm El-Sheikh (Mesir): Serangan udara diketuai Arab Saudi ke atas Yaman akan diteruskan sehingga pemberontak Syiah ‘berundur dan menyerahkan senjata mereka.’

Persetujuan dicapai oleh pemimpin Arab pada sidang kemuncak semalam.

Mereka juga bersetuju pada prinsipnya untuk membentuk satu pasukan tentera bersama.

Keputusan Liga Arab itu menggambarkan kesediaan mereka bertindak dengan cara lebih agresif yang mampu mencabar Iran sebagai kuasa besar Syiah dan yang didakwa menyokong pemberontak Houthi.

Serangan diketuai Arab Saudi itu dilancarkan Khamis lalu dengan menyasarkan kumpulan berkenaan dan sekutu mereka, termasuk tentera yang setia kepada bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

Pada persidangan yang diadakan di bandar Sharm el-Sheikh itu, ketua Liga Arab Nabil Elaraby membacakan kenyataan yang menggariskan pandangan golongan pemimpin berkenaan.

“Yaman hampir terjerumus dalam kancah perang saudara menyebabkan dunia Arab dan antarabangsa terpaksa bertindak selepas semua usaha gagal untuk mencapai keamanan dan mengakhiri rampasan kuasa Houthi serta memulihkan kerajaan yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sissi berkata semua pemimpin bersetuju pada prinsipnya untuk mewujudkan pasukan tentera Arab bersama.

Katanya, panel peringkat tertinggi akan menggariskan mekanisme dan rangka pasukan itu dengan dipantau ketua turus tentera dari semua negara Arab.

Tentera Mesir dan pihak berkuasa keselamatan mencadangkan pasukan itu terdiri daripada 40,000 askar elit dengan beribu pejabat di Kaherah atau Riyadh.

Pasukan berkenaan akan dilengkapi pesawat pejuang, kapal perang dan perisai ringan.

Bagaimanapun, tidak semua 22 negara anggota Liga Arab dilihat akan bersetuju memandangkan sejarah membuktikan mereka sering berbeza pendapat dalam semua hal.

Mewujudkan pasukan seumpama itu sudah lama menjadi sasaran dunia Arab namun ia tidak pernah tercapai.

Kali terakhir perjanjian ketenteraan bersama dipersetujui negara Arab ialah 65 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:24 AM