London: Pemain Liverpool, Jordan Henderson percaya “tidak akan ada seorang lagi Steven Gerrard”, namun menegaskan dia berazam untuk memastikan legasi rakan sepasukannya itu terus hidup menerusi persembahannya.

Gerrard bersara daripada tugasan antarabangsa tahun lalu dan akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini dengan Henderson, 24, calon terbaik menggantikannya sebagai kapten di Anfield.

Bekas pemain tengah Sunderland itu kini menjadi tonggak utama kelab serta negaranya dan sekalipun dia menafikan dididik sebagai pengganti Gerrard, dia menyatakan pemain berusia 34 tahun itu banyak mempengaruhinya.

“Saya banyak belajar daripada Stevie,” kata Henderson.

“Apabila saya tiba kali pertama di kelab ini, dia amat cemerlang bersama saya. Apabila saya tidak banyak bermain, dia juga sama, membantu saya di padang dengan apa yang perlu saya lakukan untuk meningkat.

“Juga di luar padang, dia cemerlang. Dia memang seorang pemimpin. Dia juga merendah diri secara peribadi, sesuatu yang menakjubkan terutama bagi pemain muda di Liverpool.

“Saya pasti setiap orang di sana banyak belajar daripadanya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM