MERCEDES-Benz AMG GT S.
MERCEDES-Benz AMG GT S.
NISSAN Navara generasi terbaru.
NISSAN Navara generasi terbaru.
TOYOTA Vellfire.
TOYOTA Vellfire.
PELBAGAI aksesori turut dijual.
PELBAGAI aksesori turut dijual.
DUCATI Monster 821.
DUCATI Monster 821.
Oleh Erywan Norshal


Lebih 30 pengeluar kereta mempamerkan jentera terbaru sempena Pameran Motor Ba­ngkok 2015 yang berlangsung minggu lalu.

Seperti tahun lalu, ia masih berlangsung di Challenger, Impact Muang Thong Thani, Thailand, de­ngan menyaksikan beberapa pengeluar kereta terkemuka memperkenalkan model baru yang bukan saja untuk pasaran negara Asean, malah pasaran global.

Pameran ke-36 berlangsung dari 25 Mac hingga 5 April itu bertemakan ‘Art of Auto’ dengan jangkaan gambaran bahawa ada antara model berkenaan bakal memasuki pasaran Malaysia.

Penulis yang berkesempatan mengikuti pameran itu bersama rombongan media dari Ford Malaysia turut diberi peluang menyaksikan pelancaran Ford Ranger dan Ford Everest yang dijangka dilancarkan selepas pertengahan tahun ini di Malaysia.

Selain dua model itu, beberapa kenderaan lagi dijangka masuk ke negara ini pada 2015, sekali gus merancakkan lagi industri automotif tempatan. Ia membabitkan dua trak pikap seperti Nissan Navara, Mitsubishi Triton dan kenderaan utiliti sukan iaitu Isuzu MU-X serta Hyundai Veloster Turbo.

Boleh dikatakan negara gajah putih itu lebih maju berbanding negara kita dalam menawarkan kenderaan baru. Ini terbukti apabila pengeluar kenderaan mewah, Mercedes-Benz memperjuangkan lima kereta baru bagi memeriahkan ruang pameran mereka.

Ruang pentasnya pula diserikan oleh kenderaan talaan AMG membabitkan Mercedes-Benz AMG GT S yang menjadi kenderaan sport kedua syarikat berkenaan di Thailand.

Jentera menggunakan enjin V8 turbo berkembar bersesaran 3,982 cc itu mampu menyalurkan prestasi sehingga 510 kuasa kuda dengan tork setinggi 650 Nm dan mampu dipandu sehingga 310 kilometer sejam (km/j).

BMW pula memperkenalkan dua model terbarunya iaitu BMWi3 dan BMW 2 Series Active Tourer. BMWi3 dijana oleh motor elektrik dengan menggunakan kerangka aluminium 100 peratus, sekali gus sesuai untuk pemanduan urban.

BMW 2 Series menjadi segmen terbaru pengeluar berkenaan yang menjadi penanda aras sebagai kenderaan kompak premium menerusi reka bentuk dan kemudahannya.

Selain itu, BMW memperkenalkan kenderaan konsep BMW X5 e-Drive yang menggunakan tenaga elektrik.

Di ruang pameran Volvo pula, mereka berbangga memperkenalkan edisi istimewa Volvo V60 T5 Rangkaian Kuasa Drive-E yang menawarkan teknologi keselamatan terkini.

Jentera itu hanya dikeluarkan sebanyak 32 unit menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E yang menyalurkan 220 hp, selain penggunaan bahan api sehingga 16.1 kilometer seliter.

Kenderaan keluaran United Kingdom menerusi jenama MG pula melancarkan MG3 selaku kenderaan kompak dalam segmen B untuk pasaran Thailand.

MG3 dibangunkan menggunakan 360 jurutera yang menerapkan konsep Dinamik Brit sebagai ciri standard terbaru gaya pemanduannya.

Kelebihannya adalah tahap penggunaan bahan api optimum dan dijual pada harga antara RM50,000 sehingga RM60,000 di negara berkenaan.

Bagi pengeluar automotif Jepun pula, Isuzu memperkenalkan edisi terhad MU-X yang mengalami perubahan imej lebih sporty dan mewah dengan padanan rim aloi Koukido Silver serta pelekat menarik pada bahagian badannya.

Ruang kabin pula menggunakan warna gelap dengan padanan kulit hitam Anthracite serta turut dilengkapi pemain audio Kenwood.

Suzuki Motor Thailand memperjuangkan barisan kenderaan eco iaitu Suzuki Ciaz yang mengabung­kan ciri pemanduan kereta sedan dan sport dengan keluasan kabin terbaik dalam kelasnya.

Ia menggunakan enjin 1.25 liter empat silinder K12B serta menggunakan transmisi automatik CVT yang menyalurkan 90 hp pada 6,000 rpm.

Ruang pameran Toyota pula mengetengahkan produk kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard serta Vellfire varian terbaru.

Ia juga melancarkan Toyota Corolla Altis ESport Nurburgring Edition yang ditawarkan warna hitam dan putih dengan imej lebih garang selepas menampilkan perubahan pada bampar depan, pelekat khas serta spoiler belakang lebih besar.

Mitsubishi pula melancarkan model Delica Space Wagon bagi pasaran negara berkenaan yang menghiasi pentas utama ruang pameran mereka.

Dewan 3 Challenger pula disertai jenama motosikal antarabangsa seperti Suzuki, Kawasaki, Yamaha dan Ducati.

Bagaimanapun, ruang pameran mereka hanya mempamerkan motosikal yang sudah dilancarkan sebelum ini pada peringkat global.

Sementara itu, Presiden Pameran Motor Bangkok, Dr Prachin Eamlumnow berkata, pameran itu bakal memberi impak kepada industri automatif negara berkenaan selepas melihat kadar jualan kenderaan perlahan antara Januari dan Februari lalu.

“Saya menjangka pameran ini akan menjadi pentas untuk industri automotif menjual produk mereka dengan menawarkan kempen menarik.

“Program bertemakan ‘Art of Auto’ ini untuk membuktikan tiada sempadan dalam menghasilkan kenderaan, termasuk rekaan luaran, dalaman serta prestasi enjin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:05 AM