Setiu: Remaja lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan di KM62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu, hari ini.

Dalam kejadian berhampiran Kampung Chalok, di sini, 9.20 pagi, Mohamad Haikal Mohamad Zamri, 12, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu bapanya, Mohamad Zamri Awang, 45, yang menghala ke Kota Bharu bertembung dengan Proton Wira dari arah bertentangan.

“Pertembungan itu mengakibatkan pacuan empat roda yang dipandu Mohamad Zamri hilang kawalan lalu terbalik ke kiri jalan.

“Mohamad Haikal yang duduk di bahagian hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya tidak cedera,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:14 PM