PAHAR diperbuat daripada tembaga, perak atau gangsa.
PAHAR diperbuat daripada tembaga, perak atau gangsa.

Pahar ialah talam berkaki yang diperbuat daripada tembaga, perak atau gangsa. Dulunya pahar digunakan sebagai bekas makanan atau peralatan dalam majlis beristiadat.

Dalam kalangan raja zaman dulu, makanan untuk santapan harian dihidangkan di atas pahar.

Segala lauk-pauk dan pemanis mulut dimasukkan ke dalam pinggan atau mangkuk, kemudian diletakkan di atas pahar.

Kini, pahar lebih banyak digunakan dalam majlis dan istiadat perkahwinan.

Talam berkaki adalah peralatan penting, bermula dari adat peminangan hingga ke majlis persandingan.

Ketika istiadat pertunangan, lazimnya kedua-dua belah pihak bertukar-tukar hantaran.

Hasrat yang tersirat diungkapkan keluarga lelaki diiringi dengan hantaran yang terdiri daripada cincin pertunangan, sirih junjung, sepersalinan pakaian dan kuih-muih yang digubah manis. Ia kemudiannya diletakkan di atas pahar tembaga atau perak.

Ketika pengantin disatukan, sekali lagi talam berkaki digunakan. Jambangan bunga telur dihias dan disusun penuh berseni di atas pahar.

Gubahan bunga pahar bukan sahaja penyeri pelamin, tetapi sebagai tanda mata dan penghargaan daripada keluarga pengantin kepada setiap tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan itu.

Pahar antara khazanah warisan yang mengungkap­kan kegemilangan silam. Karya seni tukang tradisi ini tinggi martabat dan kedudukannya.

Sewajarnya kita generasi baru turut menghargainya kerana kegemilangan seni warisan ini mencerminkan budaya sesebuah bangsa.

Masih mengekalkan nilai budaya Melayu, produk kraf ini sudah diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih moden dengan menampilkan kelainan dan idea segar mengikut peredaran zaman. Umpamanya gabungan rotan dan kayu.

Bagi mereka yang mahukan kelainan, produk ini amat sesuai dijadikan hiasan terutama di bahagian sudut rumah atau di dalam almari kaca.

Kraftangan Malaysia bakal menganjurkan Sambutan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2015 mulai 26 Mac hingga 7 April ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti menarik bakal berlangsung termasuk pameran dan jualan produk rekaan baru, perkhidmatan perkahwinan, pameran produk kraf ‘warisan craft ornaments’, ‘appreciation or shocking’ dan pameran wakaf.

Bagi penggemar produk kraf tempatan, ja­ngan lepaskan peluang untuk mengunjungi HKK 2015.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 1:49 PM