London: Arsene Wenger yakin pemain Arsenal mampu mengatasi defisit 3-1 ke atas Monaco pada saingan Liga Juara-Juara awal Rabu ini namun pengendali Gunners itu belum percaya bahawa mereka berpeluang menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Gol yang disumbangkan Olivier Giroud, Aaron Ramsey serta Mathieu Flamini memastikan Arsenal menang 3-0 ke atas West Ham sekali gus membuatkan semangat pemain mereka melonjak menjelang aksi kedua Liga Juara-Juara di Monaco minggu ini.

Kemenangan itu membolehkan mereka kini hanya enam mata di belakang Chelsea dengan skuad Blues itu mempunyai baki dua perlawanan di tangan.

Ketika ditanya sama ada Arsenal sudah kembali merebut gelaran liga, Wenger menjawab: “Ketika ini, belum lagi. Kami tidak memikirkan soal itu. Setakat ini kami sudah menang lapan daripada sembilan perlawanan terakhir.”

Ketika kebangkitan Arsenal dianggap agak lewat, Wenger mendakwa kesan Piala Dunia membuatkan pasukannya tidak dapat memberi tekanan kepada Chelsea.

Beliau berkata, Arsenal kini sudah berubah, lebih berkesan dan bermain sebagai satu pasukan kerana pemain sudah saling mengenali antara satu sama lain.

“Hari ini kami bukan lagi pasukan sama seperti sebelumnya. Kami mengalami masalah selepas Piala Dunia,” katanya.

“Apa yang pasti, pemain lebih memahami antara satu sama lain dan perasan itu lebih baik berbanding enam atau tujuh bulan lalu dan itulah sebabnya mengapa setiap pemain kami lebih berbahaya.

Itulah yang dapat dilihat sepanjang perlawanan di Stadium Emirates kelmarin terutamanya ketika gerakan yang membolehkan Giroud menjaringkan gol pertama pasukannya.

Begitupun, Arsenal dilihat agak sukar menembusi gawang lawan selepas penjaga gol lawan, Adrian mempamer aksi membanggakan.

Adrian berjaya menyukarkan Arsenal dan penolong pengurus West Ham Neil McDonald mendedahkan pemain itu mengalami kecederaan jari ketika berlatih tetapi tetap mahu bermain.

“Dia bermain dengan jari yang berbalut,” kata McDonald. “Begitupun, dia tetap mahu bermain dan kami memuji semangat juangnya itu.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:23 AM