Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang lelaki dipercayai lemas dan hilang di laut ketika sedang mandi-manda bersama rakannya di Pantai 1, Batu 8 Teluk Kemang, di sini, jam 3 petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, warga Myanmar, Sena Ka Nu, 24, dikatakan hilang selepas terjatuh dari pelampung yang dinaikinya.

Ketua Bomba Teluk Kemang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Izwan Md Said berkata, sebaik menerima laporan, pasukannya seramai 20 anggota terus bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mangsa diberitahu datang bersama sekumpulan rakan sekerja dari Selayang, Selangor untuk menikmati percutian dengan sebuah bas yang di sewa.

Pasukan bomba sudah menjalankan operasi mencari dengan skuad penyelam namun arus kuat dan air pasang melambatkan pergerakkan.

Turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat ini ialah 12 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 6:05 PM