Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia kukuh antara empat hingga 5.5 peratus bersandarkan permintaan domestik dan pelbagai sektor yang terus berkembang pada tahun ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, tahun lalu, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan enam peratus dengan penggunaan swasta meningkat 7.1 peratus dan inflasi keseluruhan tahun berkenaan pada kadar 3.2 peratus.

Beliau berkata, dalam sektor luar negeri, pertumbuhan eksport kasar diunjurkan menjadi sederhana tahun ini selepas mencatatkan prestasi mantap pada 2014 dalam keadaan harga komoditi lebih rendah.

"Inflasi keseluruhan 2015 diunjurkan lebih rendah pada dua hingga tiga peratus tahun ini berikutan harga tenaga dan makanan global yang rendah.

"Dasar monetari pada tahun ini akan tertumpu kepada usaha memastikan ekonomi Malaysia stabil dalam keadaan risiko inflasi yang terkawal. Persekitaran operasi bagi dasar monetari akan dipengaruhi oleh cabaran utama persekitaran luar yang memberi kesan kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhan," katanya pada taklimat laporan BNM 2014, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 6:21 PM