ZAMANI ketika tiba di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
ZAMANI ketika tiba di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Oleh Sarah Zulkifli


Ampang: Mahkamah Majistret di sini, tadi menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani dan pembantu peribadinya yang menghadapi pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, dua bulan lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid untuk menangguhkan kes sementara menunggu laporan kimia dan keputusan ujian air kencing.

Mengikut pertuduhan, Zamani dan Nur Juliana didakwa bersama-sama dalam milikan mereka dadah jenis heroin anggaran berat 1.20 gram di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat dekat sini, pada 12.30 malam, 21 Januari lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan mengambil dadah yang dibacakan berasingan, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu didakwa memberikan kepada dirinya dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini, pada 2 pagi, tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 12:56 PM