ZAMANI di Mahkamah Majistret Ampang, semalam.
ZAMANI di Mahkamah Majistret Ampang, semalam.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Ampang: Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani dan pembantu peribadinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, minggu lalu.

Zamani atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim, 43, dan Nur Juliana Abdul Rani, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan kepada mereka di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Zamani dan Nur Juliana didakwa bersama-sama dalam milikan mereka dadah jenis heroin anggaran berat 1.20 gram di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat dekat sini, jam 12.30 malam, 21 Januari 2015.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan mengambil dadah yang dibacakan berasingan, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu didakwa memberikan kepada dirinya dadah jenis Morphine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dekat sini, jam 2 pagi, tarikh sama.

Manakala Nur Juliana didakwa melakukan perbuatan sama dengan memberikan kepada dirinya dadah jenis Amphetamine jam 2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama dengan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurdeenie Abdul Rashid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Terdahulu, Nurdeenie menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh bagi semua pertuduhan, namun Ahmad Zaharil memohon kedua-dua anak guamnya diberikan ikat jamin yang rendah iaitu RM1,000 setiap seorang.

Dalam rayuannya, Ahmad Zaharil berkata, Zamani mendaftar di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) dan akan menjalani rawatan pemulihan di sana.

Selain itu, pendapatan Zamani juga agak berkurangan manakala Nur Juliana pula hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan kes.

Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Zamani ditahan bersama seorang wanita di kediamannya di Taman Keramat Ampang, di sini, minggu lalu.

Penahanan penyanyi popular era 1990-an itu turut menjadi perhatian umum apabila klip videonya disuruh menyanyi dalam keadaan bergari tersebar di laman media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 10:10 AM