(Dari kiri) Pemain Myanmar, Yan Aung Kyaw, ketua jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, Kim Swee dan Baddrol Bakhtiar. FOTO HM
(Dari kiri) Pemain Myanmar, Yan Aung Kyaw, ketua jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, Kim Swee dan Baddrol Bakhtiar. FOTO HM
Aziman Rosdi di Yangon (Myanmar)


Yangon: Skuad Harimau Malaysia kini di ambang penyingkiran awal daripada saingan Piala AFF 2016 namun bagi pertahanan tengah Muhammad Shahrom Kalam mereka tetap yakin untuk mengatasi tuan rumah Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon esok.

Masalah kelekaan pemain pertahanan terus menghantui skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee apabila mereka membenarkan Vietnam menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-79 menerusi Nguyen Trong Hoang meskipun sebenarnya mereka beraksi baik mengekang asakan pasukan pilihan itu kelmarin.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia dalam kedudukan bahaya dengan memerlukan kemenangan pada aksi terakhir jika tidak mahu mengulangi pencapaian buruk 1998 dan 2008 apabila terkandas di pusingan separuh akhir.

"Mentaliti kami tetap percaya kami mampu mengalahkan Myanmar dan layak ke separuh akhir," kata Shahrom ketika ditemui Arena Metro.

Di sebalik keyakinan itu, anak buah Kim Swee harus sedar bahawa Myanmar tampak pasukan yang sukar dikalahkan apatah lagi apabila bermain di depan ribuan penyokong sendiri.

Myanmar yang hanya layak sekali ke separuh akhir pada 2004 mengutip tiga mata dengan mengalahkan Kemboja 3-1 kelmarin dan tewas 1-2 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan.

Barisan pertahanan negara perlu lebih tenang dan fokus biarpun persembahan mereka agak goyah termasuk ketika menang 3-2 dengan Kemboja pada perlawanan pertama Ahad lalu.

"Memang rugi, kita rugi kalah dengan Vietnam. Kita sekurang-kurangnya boleh seri tapi kelekaan dalam beberapa saat pada waktu penting menyebabkan kita dibolosi.

"Kita tak ada cara lain selain menang dengan Myanmar untuk layak," kata Shahrom.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 3:44 PM