MCILROY ketinggalan lapan pukulan di belakang Holmes.
MCILROY ketinggalan lapan pukulan di belakang Holmes.
AP

Doral, Florida: Ketika JB Holmes berjaya mengekalkan pendahuluan, pemain nombor satu dunia Rory McIlroy pula gagal menahan kesabarannya.

Holmes mencatat 1 di atas Par 73, 11 pukulan lebih daripada catatan rekodnya pada kejohanan itu dengan 62 dan aksinya di lubang terakhir disifatkan sebagai tidak menjadi apabila pukulan drive yang dilakukan tersasar ke dalam air hingga mengakibatkan dia sekadar mencatat bogey berganda di lubang ke-18. Begitupun, catatan itu masih membolehkan dia mengatasi Ryan Moore dengan kelebihan dua pukulan menjelang hari terakhir Kejohanan Cadillac hari ini.

McIlroy pula hilang sabar di lapangan Trump National Doral apabila bolanya tersasar masuk ke dalam kolam dan dia mengejutkan ramai apabila melemparkan iron tiga yang digunakannya ke kolam di lubang kelapan.

“Ia sedikit melegakan saya,” kata McIlroy. “Hari ini saya membenarkan kekecewaan mengatasi ketenangan saya.”

Di lubang berkenaan, McIlroy berjaya menyelamatkan permainan dengan bogey selain tiga birdie di sembilan lubang kedua untuk mengumpul keseluruhan dua di bawah 70 sekali gus masih berpeluang untuk menang di kejohanan berkenaan.

Menjelang aksi hari terakhir hari ini, McIlroy masih ketinggalan lapan pukulan di belakang Holmes walaupun lapangan yang turut dikenali sebagai Blue Monster itu cukup sukar untuk mana-mana pemain mengekalkan pendahuluan.

Hakikat itu memang benar ketika Holmes memulakan hari kedua dengan pukulan drive sejauh 360 ela sebelum membuat pukulan kedua menggunakan 6-iron bagi membolehkan bolanya menuju tepat ke green. Begitupun, bola itu tidak berhenti dan terus bergolek memasuki kolam dan ia adalah bogey pertamanya dalam kejohanan ini.

Di lubang ketiga, pukulan keduanya turut memasuki kolam dan satu lagi bogey dicatat Holmes. Pukulan drive di lubang ke-18 turut menerima nasib sama. Begitupun, dia berjaya menutup semua kesilapan itu dengan lima birdie untuk kekal sebagai pendahulu menerusi catatan keseluruhan sembilan di bawah 135.

Holmes berkata, dia lebih berang dengan bogey di lubang pertama berbanding bogey berganda di lubang ke-18 dan satu-satunya perkara yang membuatkan dia mampu mengekalkan ketenangan ialah apabila sedar hakikat yang mengatakan Blue Monster bukanlah lapangan yang disenangi ramai pemain terbaik dunia.

“Ada perbezaan antara membuat pukulan mudah dengan ketika bola anda memasuki kolam,” kata Holmes. “Pukulan saya menggunakan 6-iron mendarat kira-kira tiga kaki di kiri green dan seketika kemudian, ia bergolek masuk ke dalam kolam. Ia bukanlah lubang yang sukar tetapi ia berlaku disebabkan kebodohan saya sendiri.”

Begitupun, dia tidak mahu membiarkan persembahannya rosak disebabkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:07 AM