Layang-layang berbentuk naga.
Layang-layang berbentuk naga.
Suasana FLLSPG di waktu malam.
Suasana FLLSPG di waktu malam.
Antara layang-layang gergasi yang mengambil bahagian.
Antara layang-layang gergasi yang mengambil bahagian.
Layang-layang berbentuk harimau.
Layang-layang berbentuk harimau.
Oleh Mary Victoria Dass


Perumpamaan ‘layang-layang terputus tali’ sinonim dengan kehidupan manusia iaitu kehidupan yang terumbang-ambing dan tidak keruan.

Layang-layang juga dikaitkan dengan keyakinan diri kerana semakin ditolak pergerakan angin, layang-layang itu semakin terbang tinggi, sekali gus menggambarkan ketabahan seseorang untuk terus berjaya biar pun menghadapi pelbagai dugaan.

Ini menggambarkan layang-layang sudah sebati dan menjadi sebahagian daripada masyarakat hingga dikaitkan dengan kehidupan dan perjalanan hidup manusia.

Permainan layang-layang bukan sesuatu aktiviti yang baru, malah wujud sejak beratus-ratus tahun dulu. Dalam Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang mencatatkan pada 1612 bahawa ayahandanya bermain layang-layang bersama pemuda dan kerabat diraja di kampungnya di Johor.

Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya, namun catatan seorang sejarawan, layang-layang di Malaysia berasal dari China kerana rekabentuk serta ciri wau di Malaysia mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara tembok besar itu.

Perkataan layang-layang digunakan di kebanyakan negeri di pantai barat dan selatan Semenanjung seperti Selangor, Melaka dan Johor manakala wau popular di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Bagaimanapun, layang-layang di negara ini kian popular dan terus berkembang dengan wujudnya beberapa kawasan khusus untuk aktiviti itu di beberapa negeri lain seperti di Bukit Layang-Layang selain Muzium Layang Layang di Pasir Gudang, Johor.

Kewujudan pusat riadah itu mengubah perspektif ramai berkaitan Pasir Gudang yang hanya dikaitkan dengan kegiatan perindustrian.

Kini, Pasir Gudang dikenali pelancong seluruh dunia kerana menjadi tempat himpunan pelayang antarabangsa sempena Festival Layang Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG).

Ratusan layang-layang gergasi berwarna-warni menghiasi ruang udara di Bukit Layang-Layang dan Padang Perbandaran Pasir Gudang sempena FLLSPG ke-20 menjadi tarikan kira-kira 200,000 pengunjung mulai 25 Februari hingga 1 Mac.

Penganjuran program itu bukan hanya mampu memartabatkan permainan tradisional yang wujud sejak zaman dulu, malah memupuk minat warga bandar raya untuk menjadikannya aktiviti riadah serta terapi merehatkan minda.

Penganjuran program kali ini bertemakan ‘Mencorak Keharmonian’, bakal menyaksikan penyertaan seramai 419 pelayang termasuk 250 pelayang antarabangsa dari 50 negara dari seluruh dunia.

Ia bakal menempa sejarah tersendiri apabila dijangka mencatatkan rekod baru dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan terbanyak dari negara antarabangsa.

Festival itu mendapat penyertaan dari China, Indonesia, Australia, Jepun, Singapura, Jerman, Perancis, England, Belanda, Colombia, Russia, Ukraine, Zambia, Turki, Denmark, Nepal, Bhutan, Poland, Romania, Slovakia dan Sri Lanka.

Festival yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara sempena Malaysia Year of Festivals 2015 (MyFest 2015) disertai 169 pemain layang-layang tempatan, 300 pelajar dan badan korporat.

Pelbagai jenis layang-layang moden dan tradisional yang bakal dipamerkan termasuk menyamai bentuk haiwan, berbentuk bulat, oval, empat segi dan ia diperbuat daripada kain ristop, fiber, buluh dan kertas warna-warni.

Sementara itu, Muzium Layang-Layang menjadi mercu tanda di Bukit Layang-Layang di Taman Bandar. Bangunan muzium itu mudah dikenali kerana terdapat kincir angin di bumbungnya.

Muzium yang menempatkan pelbagai saiz dan warna layang-layang itu dibina bagi memelihara kegemilangan warisan budaya bangsa.

Ia bagi meneruskan kesinambungan permainan rakyat itu agar tidak dilupakan dan terus kekal diwarisi.

Diiktiraf sebagai muzium layang-layang pertama di Malaysia, ia mempunyai lebih 500 koleksi layang-layang tempatan dan luar negara. Sejak dibuka pada 2002, ia turut memaparkan sejarah permainan tradisional rakyat.

Layang-layang yang ditempatkan datang dari pelbagai negara seperti Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 10:34 AM