Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ismail Hussein sebagai tokoh karyawan dan pendita ulung dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar.

“Takziah kepada keluarga Dr Ismail yang kembali ke rahmatullah. Moga ditempatkan antara yang beriman,” katanya dalam tweet terbaharu beliau hari ini.

Bekas Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya dipercayai akibat sakit tua, 9.36 malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan Allahyarham Dr Ismail sebagai seorang yang tegas dalam usahanya memartabatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu.

“Sepanjang mengenali Allahyarham, beliau adalah seorang yang amat dedikasi, tenang dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, di sini, hari ini.

Jenazah Dr Ismail, 82, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Petaling Jaya, 12.10 tengah hari.

Allahyarham meninggalkan isteri, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid dan empat anak - dua lelaki dan dua perempuan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 7:09 PM