Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah turut memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Adib di Pengkalan Udara Bomba dan Penyelamat Subang. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah turut memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Muhammad Adib di Pengkalan Udara Bomba dan Penyelamat Subang. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Nur Lela Zulkipli


“MEREKA yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Muhammad Adib mesti dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya,” tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya polis dan Jabatan Peguam Negara segera menyempurnakan siasatan terhadap kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tegasnya lagi, tindakan undang-undang yang keras perlu kenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Rakyat dimaklumkan kes Allahyarham Muhammad Adib diklasifikasikan oleh polis sebagai kes bunuh dan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

“Jadi, sekiranya terbukti wujud elemen jenayah, undang-undang perlu ditegakkan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Noraini yang juga Ahli Parliman Parit Sulong turut merakamkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam semalam ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Takziah juga kepada tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan Muhammad Adib pada Sabtu ini.

“Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Semoga Nurul Najihah tabah menghadapi dugaan ini. Reda atas pemergiannya dan lepaskanlah dia menemui penciptaNya,” katanya.

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam semalam selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Sebelum itu, pihak IJN memaklumkan tahap kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam semalam untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mengesahkan Muhammad Adib meninggal dunia dalam satu sidang media di IJN, malam semalam.

.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 9:54 AM