Oleh Aizat Sharif


Hulu Selangor: Kawasan Blok K, Pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh semalam diisytiharkan selamat untuk diduduki semula.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, penduduk Blok K kini boleh kembali semula ke kediaman masing-masing setelah penilaian tahap keselamatan mendapati ianya selamat.

"Pergerakan tanah masih dikesan berlaku cuma ianya lebih tertumpu kearah kawasan Blok L dimana pihak teknikal sedang membuat penilaian terhadap perkembangan itu," katanya kepada pemberita di lokasi tanah runtuh di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pihaknya sedang bertungkus lumus untuk memastikan tindakan pemulihan segera dijalankan agar penduduk di Blok L turut dapat kembali ke kediaman mereka juga.

"Orang ramai terutama penduduk sekitar digesa untuk tidak memasuki kawasan tanah runtuh kerana masih terdapat pergerakan tanah. Kita juga sedang bekerjasama dengan Unit Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat apakah tindakan perlu dibuat," katanya.

Sehingga kini, terdapat 539 penduduk dari dua blok kediaman iaitu Blok K dan L masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Bencana di tiga buah sekolah sekitar Taman Bunga Raya iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1), Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya.

Seramai 20 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kuala Kubu Baru dan Rawang dikerah ke tempat kejadian bagi kerja menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 2:35 PM