BATU konkrit penghadang tanah yang menunggu masa untuk runtuh.
BATU konkrit penghadang tanah yang menunggu masa untuk runtuh.

Hulu Selangor: Sebanyak 500 keluarga membabitkan 1,500 penghuni terpaksa dipindahkan berikutan berlaku gelinciran dan tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung di sini, semalam.

Dalam kejadian yang mula dikesan jam 10 pagi semalam, tebing tanah bukit berhampiran pangsapuri itu dikesan bergerak hingga menyebabkan permukaan jalan retak dan binaan bagi pembuangan sampah penduduk turut berganjak.

Susulan itu semua penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bunga Raya, Sekolah Kebangsaan Bunga Raya 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bunga Raya di sini, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan pihak bomba mendapati terdapat pergerakan tanah sepanjang lereng bukit berhampiran pangsapuri itu.

“Jarak pergerakan tanah lereng bukit itu dengan kediaman penduduk hanyalah sekitar 15 meter. Justeru, penduduk dinasihatkan berpindah bagi mengelakkan sebarang bencana buruk berlaku.

“Kita bimbang hujan lebat yang berlaku menyebabkan bukit itu runtuh dan menimbus kawasan pangsapuri lima tingkat itu,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menempatkan anggota bagi memantau keadaan tanah di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami masih menunggu siasatan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa lain bagi memastikan keadaan di kawasan ini selamat diduduki atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, ada segelintir penduduk enggan berpindah dari pangsapuri berkenaan walaupun hujan lebat berlaku sepanjang malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:09 AM