Dungun: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan ramai usahawan muda dalam kalangan 2,100 peserta yang mengikuti program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan sejak 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Roslee Daud berkata, program itu yang dimulakan di Kemaman sejak lima tahun lalu sudah diperluaskan ke Besut, Dungun dan Hulu Terengganu berikutan perkembangan positif pesertanya yang berjaya meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama erat bersama ECERDC agar lebih ramai usahawan dilahirkan, sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Bantuan dan sokongan berterusan akan diberi kepada usahawan bergantung kepada keperluan semasa mereka melalui 23 agensi kerajaan berkaitan keusahawanan di negeri ini,” katanya selepas merasmikan butik Wan Sue Taylor & Design di pusat niaga Sura Gate di sini kelmarin.

Turut hadir Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC Zulkifli Ya’acob dan Pengurus Projek Empower ECER K Suraindran serta 30 peserta kursus Jahitan dan Rekaan program Empower ECER Dungun.

Sementara itu Zulkifli berkata Program Empower ECERDC itu bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar di mana fokus Latihan Kemahiran dan Keusahawanan adalah untuk orang dewasa manakala Program Latihan Akademik untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam utama di wilayah ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur).

Beliau berkata kumpulan sasaran bagi program Latihan Akademik ialah pelajar dari keluarga miskin dengan prestasi akademik kurang cemerlang, manakala kumpulan sasaran bagi program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan pula ialah golongan belia dan dewasa yang berpendapatan kurang dari RM800. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:11 AM