Soalan ini Cik Pang tujukan khas buat pengarah dan penerbit filem kita. Kalau pelakon yang menjayakan filem mereka sendiri melabelkan filem lakonan mereka itu bodoh, apa agaknya mereka rasa.

Mesti ada yang kecil hati, marah, kecewa dan 1,001 perasaan lain, apatah lagi kalau karya itu filem pertama arahan atau terbitan mereka.

Begitulah jadinya pada sesi tayangan media filem Coverina arahan pertama Khalid Nadzri apabila pelakon utamanya, Pekin Ibrahim didakwa acap kali memanggil filem lakonannya itu sebagai filem bodoh tanpa segan silu di depan khalayak ramai.

Kata teman Cik Pang, ramai tidak nafikan filem itu genrenya lucu dan ringan, tapi ia tidak sebodoh seperti dilaung-laungkan Pekin kepada media yang hadir pada hari itu.

Teman Cik Pang terpandang juga wajah Khalid apabila Pekin memanggil filem itu bodoh, dan nampak ada sedikit kekecewaan terpapar wajah adik pengarah terkenal Ahmad Idham itu.

Kalau Cik Pang pun, jika bersusah payah mengarah dan berhabis masa serta kudrat menghasilkan filem pertama, mesti ‘bengkek’ kalau orang yang diharap-harapkan itu memperlekehkan filem lakonan mereka sendiri.

Beberapa teman Cik Pang lain pun terkejut sebab Pekin dikatakan langsung tidak menghormati pengarah apabila memperlekehkan filem itu sedangkan mereka berkawan.

Bagi Cik Pang, kawan tu kawan juga, tapi kalau bab kerja dan hasil kerja kawan, sekurang-kurangnya hormatlah sikit. Apatah lagi, nak kata Pekin pernah me-ngarah filem atau menang anugerah pelakon terbaik dan terhebat, rasanya belum pernah lagi.

Jadi, atas integriti apa dan motif pelakon yang belum cukup ‘ilmu’ itu untuk label filem orang lain bodoh?

Malah, kata teman Cik Pang, sebaik keluar dari pawagam, tidak ada pula yang mengomel melabel filem itu bodoh kecuali si pelakon itu saja.

Adakah Pekin takut pada bayang-bayang sendiri maka terpacul label filem sendiri bodoh. Bagi Cik Pang, tepuk dada tanya selera.

Nasihat Cik Pang, kalau betul tak suka filem lakonan sendiri, rasanya tak perlu canang dan malukan pengarah depan orang ramai dengan melabel karya orang lain sebagai bodoh.

Bukankah lebih baik senyap saja. Tidak pun, ‘cover’ sikit dengan puji filem itu dengan ayat klise. Sekurang-kurangnya orang lain yang dengar pun tak terasa hati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:07 AM