Ini berita baik mengenai sikap Ayda Jebat yang ingin Cik Pang kongsi dengan pembaca. Teman Cik Pang tidak habis-habis memuji sikap profesional Ayda yang sangat menjaga kualiti lakonan dan tidak suka terlalu mengharapkan bantuan orang lain.

Kata teman Cik Pang, Ayda sebenarnya lebih suka menyediakan baju sendiri untuk sesi penggambaran drama atau filem. Biarpun ada beranggapan tindakan Ayda seolah-olah diva sebab tidak mahu menggunakan khidmat jururunding sedia ada, Ayda ada jawapannya sendiri.

Dakwa teman Cik Pang, Ayda selesa begitu sebab baginya, untuk jaga kualiti lakonan, pakaian yang sesuai dengan watak dan tubuhnya memainkan peranan penting.

Malah sebelum memilih pakaian yang akan dipakai untuk watak, dia mendapatkan persetujuan pengarah dan wataknya habis dikaji.

Kata Ayda, tindakan itu penting sebab peminat meletak harapan tinggi padanya. Tambah pula, dia nak membantu kawan yang menjalani bisnes dalam talian.

Jadi, bab cari baju tajaan memang bukan masalah buat Ayda. Dari kepala sampai ke kaki, semuanya tersedia untuknya. Bak kata pepatah Inggeris, ‘Win-win situation’.

Apabila difikirkan, betul juga tindakan Ayda sebab sesekali naik sakit mata Cik Pang apabila pakaian dipakai pelakon dalam drama atau filem langsung tak sepadan.

Ada yang tak bergosok, warna, corak dan potongan pakaian tak bersesuaian dengan pelakon dan karakter serta banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:01 AM