KEHANGATAN yang ada pada warna merah berkenaan menjadikannya sebagai perangsang baik kepada kesan energetik dalam persekitaran.
KEHANGATAN yang ada pada warna merah berkenaan menjadikannya sebagai perangsang baik kepada kesan energetik dalam persekitaran.

Salam deko, jumpa lagi kita minggu ini. Kehangatan Tahun Baru Cina masih terasa di sana-sini. Apabila berbicara berkenaan perayaan itu, pastinya warna merah menjadi pilihan sama ada untuk pakaian atau dekorasi.

Tahukah anda kehangatan warna berkenaan menjadikannya perangsang baik kepada kesan energetik dalam persekitaran? Namun, kehangatan keterlaluan membawa kesan agresif dan dramatik. Justeru, ramai kurang gemar menggunakan warna ini dalam menata hias kediaman.

Anda perlu tahu warna merah boleh dipadankan dengan warna neutral dan pastel. Persekitaran yang ‘lemah’ boleh berubah dengan sedikit cetusan dan gabungan warna merah.

Pada peringkat awal, anda hanya perlu meletak elemen hiasan contohnya bunga ros, pasu, kusyen kecil, dan hamparan untuk memperkenalkan warna merah di mana-mana ruang kediaman anda.

Apabila sudah semakin berani dan yakin, anda boleh mula menggunakan cat pada dinding yang sesuai atau mengaplikasikan kertas dinding dengan rona merah pada sebahagian dinding di kediaman anda.

Saya tidak menggalakkan mengecat keseluruhan dinding dengan merah melainkan jumlah kontrasiti yang terhasil antara dua warna utama pada ruang itu sedikit.

Warna merah sesuai untuk menghiasi bilik ulang kaji atau bilik permainan anak kerana ia mampu merangsang minda dan tingkah laku aktif. Namun, jika anda seorang yang pasif dan gemar sesuatu yang sederhana, warna merah bukanlah pilihan yang sesuai.

Bagi kamar tidur, jika anda seorang yang sukar tidur atau sering mengelamun sebelum tidur, warna merah tidak sesuai kerana warna ini bakal membuatkan anda berjaga sepanjang malam.

Namun, warna merah yang menghasilkan kehangatan itu boleh dinaturalkan apabila kontranya dikurangkan dan dibantu warna-warna lembut disekeliling­nya. Anda berani? Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:08 AM