Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kuala Kurau: Dua nelayan hilang manakala empat lagi selepas tiga bot yang dinaiki mereka dipukul ombak dan ribut di berhampiran Rumah Api Kuala Gula, di sini malam tadi.

Sehingga jam 2 petang ini dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Muhammad Farid Hussin, 35, berasal dari Kuala Gula dan Patahhul Karim, 27, warga Indonesia masih belum ditemui lagi.

Ketua Operasi mencari Leftenan Maritim Malaysia Pengkalan Kuala Kurau, Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar berkata , lebih kurang jam 7 malam tadi, tiga bot nelayan dinaiki dua nelayan tempatan dan empat warga Indonesia sedang menaikkan pukat di lokasi kejadian dan dipercayai karam berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Menurutnya, sedang mereka menaikkan pukat, kawasan perairan itu dilanda ribut dan ombak besar hingga menyebabkan ketiga-tiga bot berkenaan terbalik dan karam.

"Kejadian itu menyebabkan seorang nelayan tempatan dan seorang nelayan warganegara Indonesia masih dilaporkan hilang sehingga kini.

"Jarak lokasi kejadian dari Kuala Gula adalah sekitar satu kilometer dan sebanyak enam agensi dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jabatan Perikanan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bomba dan Jabatan Kesihatan Kuala Kurau terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Fairul Hawadi berkata, dalam tempoh setengah jam selepas bot mereka karam terdapat sebuah bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran membantu menyelamatkan mangsa yang tenggelam di tengah laut.

Menurutnya, bot terbabit berjaya menyelamatkan empat mangsa, manakala dua lagi gagal dikesan.

"Mangsa yang berjaya diselamatkan adalah Dahalan Jamaludin, 36, dari Kampung Nelayan Kuala Gul dan tiga lagi mangsa dari Indonesia berusia lingkungan 34 tahun hingga 46 tahun, " katanya.

Menurutnya, kekuatan anggota penyelamat adalah bomba seramai 16 orang APMM (8), polis (14), JPAM (5) dan Jabatan Kesihatan seramai tiga orang.

Katanya, sebanyak enam bot penyelamat digunakan bagi melakukan operasi pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 12:30 PM