SLASH (kanan) bersama Myles Kennedy.
SLASH (kanan) bersama Myles Kennedy.
Oleh Michelle Gun


Pernah berkunjung ke Kuala Lumpur lima tahun lalu, pemain gitar legenda Slash kembali menggegarkan pentas di konsert yang berlangsung di Sunway Surf Beach Sunway Lagoon, Sabtu lalu.

Bekas gitaris Guns N Roses itu turut diiringi vokalis Alter Bridge, Myles Kennedy serta anggota The Conspirators iaitu Bobby Schneck (gitar ), Todd Kern (bass) dan Brents Fitz (dram).

Konsert kali kedua mereka di negara ini bagi mempromosikan album terbaru World On Fire yang dipasarkan pada September tahun lalu.

Lebih istimewa, tarikh persembahan yang dipilih berlangsung pada Hari Kekasih selain Malaysia satu-satunya negara jelajah konsert mereka di Asia Tenggara.

Sebelum ini, mereka berada di Jepun selama empat hari pada 9 Februari lalu sebelum berlepas ke negara ini.

Kemunculan Slash atau nama sebenarnya Saul Hudson, 49, di pentas pada jam 8.30 malam membuatkan ribuan peminat yang hadir bersorak.

Tampil dengan imej ‘trademark’ iaitu bertopi tinggi atau ‘top hat’ , berkaca mata hitam dan rambut keriting kembang, Slash memulakan persembahan pertama dengan lagu You’re A Lie daripada album Apocalyptic Love.

Walaupun konsert itu bertujuan memperkenalkan album World On Fire, Slash seolah-olah tidak sabar untuk membawa penonton mengimbau zaman kegemilangannya bersama Guns N Roses apabila memilih lagu Nightrain daripada album sulung Guns N Roses, Appetite For Destruction pada 1987 untuk persembahan kedua.

Apabila Slash memainkan ‘intro’ lagu berkenaan, penonton yang sebahagian besar peminat Guns N Roses mula bersorak.

Mereka turut memainkan beberapa lagu Guns N Roses seperti Double Talkin Jive, Out ta Get Me, You Could Be Mine, Rocket Queen, Paradise City dan sudah pastinya lagu wajib Sweet Child O’Mine.

Dalam konsert itu, Slash, Myles dan The Conspirators menghiburkan penonton dengan 20 seleksi lagu termasuk ciptaan Slash dan Myles daripada album Apocalyptic Love seperti Halo dan Anastasia.

Kehangatan konsert diteruskan dengan lagu dari album terbaru mereka iaitu Wicked Stone, 30 Years to Life, The Dissident, Beneath the Savage Sun dan Bent To Fly.

Memukau penonton dengan petikan gitarnya, Slash turut memainkan beberapa lagu popular daripada album solonya iaitu Ghost, Back From Cali dan Doctor Alibi.

Sebelum melabuhkan tirai konsert, Slash memetik lagu Slither yang dihasilkan ketika menganggotai kumpulan Velvet Revolver.

Konsert akhirnya sampai ke penghujungnya dengan Myles menyanyikan lagu Paradise City. Walaupun bukan dibawakan penyanyi asalnya iaitu W Axl Rose, peminat tetap bagaikan histeria kerana ia antara lagu hebat Guns N Roses satu ketika dulu.

Bagi peminat gitar, melihat aksi Slash yang turut dikenali sebagai antara pemain gitar terhebat dunia itu di depan mata pastinya mengujakan.

Menggunakan gitar yang sinonim dengannya sejak penampilan awal bersama Guns N Roses iaitu Gibson Les Paul, Slash mampu memainkan ‘riff’ dan solo gitar yang mengasyikkan.

Apa yang pasti, peminat Slash pada malam itu puas dengan persembahannya dan pulang dengan senyuman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:02 AM