AXL dan Slash berbaik semula selepas 19 tahun.
AXL dan Slash berbaik semula selepas 19 tahun.
ANGGOTA Guns N Roses yang terdiri daripada (dari kiri) Izzy, Steven Adler, Axl, Duff dan Slash adalah paling dinanti-nantikan kemunculan semula mereka.
ANGGOTA Guns N Roses yang terdiri daripada (dari kiri) Izzy, Steven Adler, Axl, Duff dan Slash adalah paling dinanti-nantikan kemunculan semula mereka.
Susunan Riadz Radzi


Adakah anggota asal kumpulan rock legenda Guns N’ Roses akan bergabung semula?

Desas-desus ini mula diperkatakan sejak akhir-akhir ini apabila penyanyinya, Axl Rose dan bekas pemain gitar, Slash sudah berbaik semula selepas 19 tahun tidak bertegur sapa.

Bekas pemain dramnya, Steven Adler ketika ditanya mengenai dua rakannya itu dalam satu temu bual baru-baru ini berkata, ia adalah perkara mengujakan apabila Axl dan Slash akhirnya berbaik semula.

“Ia perkembangan yang bagus kerana mereka sudah terlalu lama tidak bercakap. Dalam tempoh itu, dunia muzik kehilangan gabungan penyanyi dan pemain gitar yang bagus.

“Gabungan Axl dan Slash seperti Mick Jagger dan Keith Richards dalam Rolling Stone; Robert Plant dan Jimmy Page (Led Zeppelin) atau Steven Tyler dan Joe Perry (Aerosmith). Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila mereka ini berpisah, begitu juga dengan Axl dan Slash.

“Saya gembira apabila mereka berbaik semula kerana saya sayangkan mereka. Sebenarnya Axl tidak tahu saya menyayanginya lebih daripada orang lain!” katanya ketawa.

Slash dalam satu temu bual dengan stesen TV baru-baru ini mengakui dia sudah berbaik dengan Axl selepas tidak bercakap dengan penyanyi itu sejak meninggalkan Guns N’ Roses pada 1996.

Adler pula dipecat daripada kumpulan itu pada 1990 akibat masalah dadah.

Selain mereka, dua lagi anggota asal Guns N’ Roses ialah Duff McKagan (bass) dan Izzy Stradlin (gitar). Kelima-lima pemuzik hebat ini dilabel sebagai anggota terbaik Guns N’ Roses terutama menerusi album sulung Appetite For Destruction pada 1987.

Album berkenaan yang mengandungi lagu popular seperti Sweet Child O’Mine, Welcome To The Jungle dan Paradise City diiktiraf sebagai antara album rock terbaik dunia dan hingga hari ini terjual lebih 28 juta unit di seluruh dunia.

Berdasarkan tinjauan, hampir semua peminat mahukan anggota Guns N’ Roses yang terbabit dalam album sulung itu melakukan ‘reunion’.

Adler ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, dia tidak tahu sama ada ia akan berlaku atau tidak.

“Saya tidak tahu. Jika ia berlaku pun, saya mungkin orang paling akhir yang akan tahu.

“Namun, saya percaya jika kami bergabung semula pasti peminat akan menangis kegembiraan. Setiap kali bertemu peminat, saya

kerap ditanya bila kami akan membuat ‘reunion’? Kalau boleh saya memang nak jawab, kami akan lakukannya pada sekian sekian hari, tetapi saya tidak boleh,” katanya.

Adler berkata, dia berasakan ‘reunion’ itu penting kerana ia ibarat mereka melangsaikan ‘hutang’ dengan peminat.

“Bersama Guns N’ Roses, kami berjaya mencapai impian dan memiliki kehidupan selesa kerana mereka sukakan muzik kami. Jadi, sekarang kami perlu membayar semula kepada mereka (peminat).

“Jujurnya, saya tidak pernah mendengar peminat begitu mahukan anggota asal sesebuah kumpulan bersatu semula seperti Guns N’

Roses, malah apabila Aerosmith berpecah dulu, peminat mereka seperti tidak ambil kisah,” katanya.

Selepas Adler meninggalkan Guns N’ Roses, dia diganti oleh Matt Sorum serta menambah seorang pemain keyboard iaitu Dizzy Reed. Stradlin pula keluar dari kumpulan ini pada 1991 dan digantikan dengan Gilby Clarke.

Perpecahan Guns N’ Roses bermula pada 1994 apabila Clarke dipecat daripada kumpulan itu sebelum Slash turut keluar pada 1996.

McKagan dan Sorum turut mengambil langkah sama pada 1997 meninggalkan Axl bersama Reed meneruskan perjuangan Guns N’ Roses.

Selain Axl dan Reed, Guns N’ Roses kini dianggotai Tommy Stinson (bass), Chris Pitman (keyboard), Richard Fortus (gitar) dan Frank Ferrer (dram).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 11:42 AM