KOH (dua dari kiri) ketika pelancaran GSC IOI City Mall.
KOH (dua dari kiri) ketika pelancaran GSC IOI City Mall.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Dalam usaha menjanjikan pengalaman menonton filem yang tiada tandingan kepada peminat khususnya di Lembah Klang, rangkaian pawagam terbesar Malaysia Golden Screen Cinemas (GSC) terus melebarkan penguasaannya apabila membuka cawangan terbaru di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

Memuatkan 13 dewan dengan skrin digital penuh, GSC turut menawarkan dua dewan GSC Maxx dan keseluruhannya boleh memuatkan kapasiti 2,145 tempat duduk termasuk 26 ruang untuk kerusi roda.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee berkata, pengalaman menonton pasti berlainan kerana pelbagai ciri-ciri keistimewaan diterapkan di pawagam ini.

“GSC IOI City Mall, Putrajaya ini dilengkapi dengan dua GSC Maxx dalam dewan bertauliah THX, dengan skrin lebih besar daripada saiz biasa dan kecerunan lantai yang lebih tinggi untuk menjamin keseronokan menonton tanpa gangguan.

“Teknologi audio pawagam 3D Dolby Atmos berbilang dimensi yang terkini dan projektor 4k untuk resolusi imej lebih tinggi dan kecerahan optimum akan memastikan peminat filem mendapat pengalaman berbeza,” katanya.

Menurutnya, kaki wayang boleh menyelami pengalaman 3D yang serba menarik memandangkan GSC IOI City Mall dilengkapi tiga dewan 3D. Bahkan kemudahan pelanggan turut diperkenalkan menerusi tawaran pembelian tiket secara dalam talian dan telefon termasuk pembelian e-Combo via e-Payment dan GSC Mobile App (iOS, Android dan Windows Phone).

“Kos pembinaannya ialah sebanyak RM26 juta dan ia adalah cawangan keempat yang dibuka dalam tempoh dua bulan iaitu selepas GSC Ipoh Parade, GSC Nu Sentral dan GSC Quill Mall di Kuala Lumpur.

“Sekarang GSC mempunyai sejumlah 309 skrin digital di 36 lokasi di seluruh Malaysia dan Vietnam,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif IOI Properties Group Bhd Tan Sri Datuk Lee Sin Cheng dan Pengurus Besar GSC Irving Chee.

Bersempena perayaan Tahun Baru Cina esok, GSC turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik bertemakan filem seperti Kingsman: The Secret Service, Dragon Blade, seni kraf Spongebob: Sponge Out of Water dan permainan menembak Insurgent.

Maklumat lanjut layari laman web www.gsc.com.my atau Facebook GSCinemas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 11:25 AM