Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan:Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun dipercayai ahli kongsi gelap 77 dan merampas sepucuk pistol jenis Magnum .22 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Balok Makmur, di sini, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 8.30 malam itu, dua lagi individu iaitu isteri suspek berusia 30 tahun serta pekerjanya berusia 25 tahun turut ditahan.

Ketika ditahan lelaki berasal dari Kemaman, Terengganu itu, memberi alasan menyertai kongsi gelap dan memiliki pistol hanya untuk suka-suka manakala senjata api itu dibeli di negara jiran.

Ketua Polis PahangDatuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, pemeriksaan lanjut menemui dua biji pil kuda dalam paket straw dan hasil ujian air kencing mendapati dua lelaki itu positif.

"Semua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis masih menyiasat sama ada suspek pernah menggunakan pistol terbabit atau sebaliknya," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 12:15 PM