BARISAN juri sesi uji bakat, Fatimah dan Marlia.
BARISAN juri sesi uji bakat, Fatimah dan Marlia.

Oleh Ramlah Zainal

[email protected]

Setiap pasangan ada impian perkahwinan masing-masing, sekali gus untuk mengabadikan hari bersejarah dalam hidup mereka itu sebagai kenangan seumur hidup.

Justeru, bagi memenuhi impian perkahwinan pasangan di luar sana, saluran Astro Ria menerbitkan program realiti terbaru sebanyak 20 episod Pelamin Fantasia yang turut menaja pakej perkahwinan bernilai RM100,000.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pasangan yang merancang untuk berkahwin dialu-alukan untuk me-nyertai uji bakat yang diadakan pada hujung minggu ini.

“Idea untuk menerbit-kan program ini selepas beberapa program berkaitan perkahwinan yang dihasilkan sebelum ini mendapat sambutan seperti Mahligai Cinta, Walimatul Urus dan Raikan Cinta yang mendapat rating yang bagus sebelum ini.

“Justeru, kami yakin program Pelamin Fantasia juga akan mendapat sambutan ramai nanti,” kata-nya.

Raqim berkata, program itu juga usaha untuk merealisasikan impian pasa-ngan membina istana cinta dengan lebih sempurna melalui ikatan perkahwinan.

“Bukan itu saja, ia juga dilihat mampu memberikan dorongan kepada generasi muda yang berpasangan untuk menjalinkan ikatan yang sah dan memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

“Antara objektif penerbitan program ini adalah untuk memberi peluang kepada pasangan untuk melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat tanpa mengeluarkan belanja besar.

“Maklumlah, ramai pasangan menangguhkan hasrat untuk berkahwin kerana perbelanjaan semakin besar . Kami berharap program ini mampu menarik penyertaan penonton daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Penyertaan terbuka kepada selebriti

Bagi memastikan kelancaran program Pelamin Fantasia, pihak Astro Ria turut mendapatkan khidmat tiga nama besar dalam bidang masing-masing selaku juri tetap iaitu Fatimah Abu Bakar, Datin Marlia Musa dan Naz-rul Nazaruddin atau lebih dikenali sebagai Nas Great Idea.

“Mereka juga bertanggungjawab untuk menilai calon peserta berdasarkan kriteria ditetapkanm ketika uji bakat.

“Peserta juga dinilai berdasarkan personaliti menarik dan idea kreatif untuk impian perkahwinan mereka yang dimiliki pasangan berkenaan,” katanya.

Apa yang menarik, kata Raqim, pihaknya turut membuka penyertaan kepada pasangan selebriti yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kami mencari 10 pasangan yang layak dan merancang untuk berkahwin bagi menjayakan program ini.

“Penyertaan terbuka kepada pasangan yang sudah bertunang atau merancang untuk berkahwin serta berusia 18 tahun ke atas dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih. Peserta juga perlu memiliki perwatakan menarik dan dalam keadaan kesihatan mental dan fizikal yang baik,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ini dijemput hadir ke sesi uji bakat yang berlangsung pada 14 dan 15 Februari ini di Hotel Pullman, Putrajaya dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Seiring dengan perkembangan teknologi, saringan pertama sesi uji bakat secara online di mana orang ramai boleh menghantar video penyertaan ke laman web rasmi.

Calon juga dikehendaki memuat naik rakaman video penyertaan berdurasi satu hingga tiga minit secara online di YouTube. Kandungan video perlu menjawab soalan mengapa Astro perlu menaja dan apa yang menarik mengenai perkahwinan idaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 10:11 AM