Reuters

Seoul: Sebuah mahkamah di Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap anak perempuan pengerusi penerbangan Korean Air, Heather Cho Hyun-Ah kerana tidak berpuas hati dengan mengamuk dan cara dia dihidangkan kacang makademia.

Mahkamah memutuskan Heather, 40, yang juga bekas ketua perkhidmatan dalam penerbangan syarikat itu, bersalah apabila mengarahkan pesawat berkenaan berpatah balik ketika berlepas pada 5 Disember tahun lalu.

Dia juga mengarahkan ketua pramugara dihalau dari pesawat berkenaan selepas marah kerana dihidangkan kacang makademia dalam beg plastik dan bukan atas pinggan.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan di Korea Selatan, yang sering tidak berpuas hati dengan keangkuhan keluarga konglomerat digelar ‘chaebol.’

Hakim Oh Sung-woo berkata: “Dalam kes ini, maruah mangsa umpama dipijak.”

Dia mengambil kira Heather mempunyai anak kembar berusia 20 bulan dan sudah mendapat sedikit hukuman apabila ditahan di penjara sejak 30 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah tidak boleh mengenepikan fakta bahawa perbuatan Heather itu menyakitkan mangsa.

Sementara itu, peguam Heather, Suh Chang-hee berkata pihaknya sedang membincangkan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Setahu saya dia memang insaf atas perbuatannya,” katanya.

Korean Air tidak mengulas keputusan mahkamah itu.

Sementara itu, Heather berkata dalam surat yang dibacakan Oh bahawa dia amat menyesal dan memohon maaf kepada mereka yang terkesan akibat kejadian berkenaan.

Heather yang memakai baju seragam hijau penjara tunduk ketika hukuman dijatuhkan dan menangis apabila suratnya dibacakan.

Sementara itu, seorang lagi eksekutif syarikat penerbangan berkenaan juga dipenjara lapan bulan kerana cuba mengganggu siasatan kerajaan terhadap kejadian terbabit.

Jurucakap Majlis Peguam Korea Choi Jin-nyoung berkata, dia pada awalnya menjangka Heather dipenjara antara satu setengah hingga dua tahun.

“Kini mahkamah membuat keputusan berdasarkan garis panduan hukuman, bererti golongan chaebol tidak lagi diberikan tempoh penjara tertunda seperti dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:29 AM