Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat persiapan secukupnya sebelum berdepan jawatankuasa sementara timbang tara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkaitan kes doping jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Saya tidak mahu kita pergi perbicaraan kes Chong Wei dengan kes separuh masak, ini kes yang amat penting.

“Saya tidak mahu kita terburu-buru sebab ada beberapa perincian perlu diperhalusi kerana kita ada satu peluang saja,” katanya mengenai luahan Chong Wei yang tidak teragak-agak menggantung raket selepas perbicaraan terhadap kes doping yang dijadual minggu ini ditangguh ke Mac.

Chong Wei mendakwa sudah lama dia bersabar dan tidak tahu berapa lama lagi boleh bertahan dan mungkin terpaksa membuat keputusan berhenti daripada sukan itu.

Menurut Khairy, kelewatan perbicaraan kes doping itu bagi memastikan kes dipersembahkan nanti kukuh.

Katanya, pihaknya juga sudah mengingatkan BAM supaya bersiap sedia sepenuhnya sebelum menghadiri perbicaraan itu.

“Kegagalan membela Chong Wei dengan baik boleh menyebabkan dia digantung dua tahun. Jika itu berlaku sudah tentu dia akan bersara.

“Keputusan itu akan memberi kesan bukan saja kepada pemain itu sendiri, tapi juga sukan badminton negara secara tidak langsung,” katanya selepas meninjau persiapan Piala Monsun Malaysia 2015 di Teluk Danga, semalam.

Sebelum ini, perbicaraan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 dan 2012 itu sudah beberapa kali tertangguh.

Chong Wei sudah dua kali menjelaskan kepada media hasratnya untuk bersara. Pertama kali memberi jawapan sama ketika ditanya BBC pada 25 Januari lalu mengenai apa yang akan dilakukan jika dikenakan penggantungan dua tahun.

Pemain utama perseorangan negara itu gagal ujian doping pada 1 Oktober tahun lalu pada Kejohanan Dunia di Copenhagen pada Ogos.

Beliau dikatakan mengambil bahan terlarang dexamenthasone iaitu ubat penahan sakit untuk kecederaan dialaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:39 AM