Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pemilihan semula untuk semua jawatan dalam MIC perlu diadakan menjelang Julai ini bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan jawatan dalam parti itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan MIC melaksanakan pemilihan semula dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan MIC dibatalkan mengikut seksyen 13 Akta Pertubuhan 1996.

Katanya, pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan pada April, manakala pemilihan Presiden pada Mei ini.

"Pemilihan di peringkat Bahagian diadakan pada Jun, sementara sayap wanita, pemuda, putera dan puteri MIC perlu diadakan dalam tempoh April hingga Jun.

"Pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Naib Presiden serta Mesyuarat Agong perlu diadakan pada Julai ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ahli CWC yang dipilih pada 2009 akan merangkap jawatan sebagai ahli CWC sementara (ahli interim CWC) sehinggalah proses pemilihan semula ini selesai sepenuhnya.

Katanya, ahli interim CWC ini dikehendaki menubuhkan satu jawatankuasa pilihanraya bagi mengendalikan proses pemilihan semula ini, dan hanya senarai pemilih serta cawangan yang ditubuhkan pada 2012 sahaja yang boleh digunapakai untuk pemilihan semula ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 3:19 PM