Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge (gambar) mula menari selepas menjaringkan gol selepas cara meraikan gol yang disukainya iaitu menanggalkan baju hanya akan menyebabkan dia dilayangkan kad kuning.

Pemain England itu membuat penampilan pertamanya di Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu selepas lima bulan tidak beraksi dan hanya memerlukan 12 minit untuk menjaringkan gol ketika Liverpool menewaskan West Ham 2-0.

Sturridge mempamerkan gaya tarian yang menjadi identitinya ketika kembali beraksi di Anfield tetapi pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan ia berlaku disebabkan perubahan dalam peraturan.

Sturridge, ketika ditanya sama ada dia rindukan gaya meraikan gol sebelum ini, berkata; “Saya tidak perlu berusaha keras untuknya, ia datang secara semula jadi. Bagaimanapun saya mungkin menukar gaya itu.

“Sebelum ini, gaya meraikan gol terbaik adalah dengan menanggalkan baju, tetapi kini ia menyebabkan anda dilayangkan kad kuning dan itulah puncanya saya memilih cara ini.

“Sudah begitu lama dan saya teringin untuk turun dan membantu pasukan memenangi perlawanan, ia amat penting bagi saya.

“Ia satu pengalaman paling buruk apabila anda hanya mampu melihat daripada bangku penonton.

“Begitupun ia membantu anda secara mentalnya dan saya rasa semakin baik. Saya berasa seronok dan gembira dapat kembali beraksi.”

Sturridge bagaikan tidak berdaya apabila melihat harapan Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris tidak kesampaian musim ini selepas berada di belakang Manchester City selaku naib juara tahun lalu.

Penyerang berkenaan turut melihat kapten kelab, Steven Gerrard mengumumkan akan meninggalkan kelab itu selepas 26 tahun pada hujung musim ini dan Sturridge mengakui sukar baginya menerima berita itu.

“Sejujurnya, saya kecewa. Memang saya kecewa,” kata Sturridge.

“Dia seorang legenda, salah seorang pemain hebat yang beraksi dengan England, mungkin lebih hebat, selain David Beckham.

“Dia sentiasa menjadi seorang yang saya kagumi. Dia seorang pemain yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 10:56 AM