Oleh Aziman Rosdi


Putrajaya: Harimau Malaya bakal mengharungi ujian pertama tahun ini apabila dijangka menentang skuad Piala Dunia, Ivory Coast dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 28 Mac di laman sendiri.

Hingga kini Persekutuan Bolasepak Ivory Coast (FIF) masih belum memberi kata putus mengenai perlawanan itu, namun pengendali negara Dollah Salleh amat berharap rancangan itu akan berjalan seperti yang diatur.

“Kemungkinan besar Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan dengan Ivory Coast hujung Mac ini, tapi kita belum mendapat pengesahan lagi. Kita kini berusaha mendapatkan kepastian dalam masa terdekat. Perlawanan ini akan diadakan di sini, namun gelanggang belum ditentukan lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran skuad Liga Super Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Dollah membimbing skuad juara Liga Perdana 2014 itu sebelum dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 1 Julai lalu menggantikan Datuk K Rajagobal yang tamat kontrak pada Disember 2013.

Jika rancangan membawa Ivory Coast ke sini berjaya, ini aksi pertama skuad kebangsaan menentang skuad gergasi dari Afrika itu yang menyertai Piala Dunia 2006, 2010 dan 2014 serta dibarisi ramai bintang seperti Didier Drogba, Yaya Toure, Gervinho dan Wilfried Bony.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:17 AM