ZAIN dan Zarynn sebagai suami isteri dalam Beli Adik.
ZAIN dan Zarynn sebagai suami isteri dalam Beli Adik.
Oleh Ardini Sophia Sina


Nama Zain Hamid dan Zarynn Min bukan baru dalam seni tanah air dan kini mereka antara pelakon yang terus gigih meneruskan kerjaya. Terbaru, mereka digandingkan dalam telefilem Beli Adik arahan Khir Rahman.

Mula dikenali bersama kumpulan Ruffedge, Zain kini lebih dikenali sebagai pelakon dan lakonannya dalam Keluarga Iskandar berjaya menambat hati penonton. Hakikatnya, Zain bukan pelakon komedi tetapi kini makin selesa dengan drama komedi.

Zain atau Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid, 36, tidak menafikan ramai seronok melihat dia berlakon dalam cerita komedi sebagaimana komen mereka menerusi lakonannya dalam Keluarga Iskandar.

Katanya, dalam Keluarga Iskandar wataknya bukan komedi, sebaliknya melakonkan karakter serius tetapi keadaan ketika itu membuatkan wataknya nampak kelakar.

"Alhamdulillah, penonton dapat menerima kehadiran saya apabila berlakon dalam cerita komedi. Bagaimanapun, saya tidak hanya tertumpu dalam genre komedi, sebaliknya suka mencabar diri dengan memegang watak berat," katanya.

Berkunjung ke lokasi Beli Adik di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, kelihatan Khir sibuk meneliti skrip, mungkin menyusun babak pada hari terakhir penggambaran. Ketika itu pelakon dan kru berehat seketika dan tidak lama selepas itu kembali menyambung penggambaran.

Dalam naskhah Beli Adik, Zain memegang watak ayah yang tegas. Dia sibuk dengan perniagaan hingga tidak meluangkan masa untuk anaknya.

Kata Zain, bekerja dengan Khir bukan masalah kerana sudah lama mengenali pengarah berbakat dan mereka juga bersahabat baik. Bagaimanapun, katanya, ini kali pertama dia bekerja di bawah arahan rakannya.

"Bekerja dengan Khir serta membawa watak ayah bukan perkara sukar buat saya. Khir santai dan tidak terlalu memaksa pelakonnya. Perasaan selesa di lokasi akan menghasilkan karya lebih bermutu," katanya.

Kerap berlakon dengan kanak-kanak, Zain yang mempunyai anak perempuan, Ariana Rania, 6, tidak mempunyai masalah berdepan pelakon kanak-kanak, Mohd Izwan Fikri, 13, dan Muhammad Izz , 12.

Katanya, tidak sukar berlakon dengan mereka kerana masing-masing sudah besar dan ada pengalaman berlakon.

"Realitinya, saya seorang ayah dan tidak timbul masalah berlakon dengan kanak-kanak. Cuma dalam telefilem ini mudah bekerja dengan mereka kerana Izz dan Izwan ada pengalaman. Mereka juga sudah besar dan tidak banyak kerenah.

"Saya suka budak-budak. Apabila berada di lokasi penggambaran, saya dapat juga membantu memujuk pelakon cilik yang meragam. Mungkin pengalaman sebagai ayah membuatkan saya mudah bekerja dengan mereka," katanya.

Mengenai tanggungjawab sebagai ayah, pasti kerjayanya sebagai anak seni menuntut banyak masa di lokasi penggambaran mahu pun menguruskan syarikat Camwerk Studios yang diusahakan bersama Aqasha dan Syed Hussin (Sein Ruffedge).

Kata Zain, walaupun sehari suntuk menjalani penggambaran atau letih dengan urusan lain, sebagai ayah dia pastikan ada masa bersama anaknya.

"Walaupun hanya sebentar, ia cukup untuk melepaskan rindu. Memang kerjaya seni mengambil masa yang banyak. Kadangkala apabila saya pulang ke rumah, dia sudah tidur.

"Walaupun pulang lewat, saya akan masuk ke biliknya sekejap sekadar untuk melihatnya tidur. Saya juga akan gagahkan diri untuk bangun lebih awal daripadanya supaya boleh bersarapan dan menghantarnya ke sekolah.

"Selalunya saya akan luangkan masa dengan anak sebelum memulakan projek lain," katanya.

Mengenai kerjaya nyanyian, Zain akui tidak pernah meninggalkan bidang dicintai itu. Mempunyai studio rakaman sendiri memudahkan Zain meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi.

Katanya, dia kini sibuk dengan rakaman lagu baru duet dengan Aqasha.

Zarynn tidak kejar populariti

Kisah komedi bukan baru buat Zarynn Min. Malah, mungkin ada yang masih ingat, Zarynn bermula dengan siri Spanar Jaya dan kini mengakui lebih banyak membawa karakter yang mencuit hati penonton.

Katanya, walaupun lakonannya lebih menjadi perhatian dengan watak berat dan menuntut emosi dalaman, dia sedia memegang apa saja watak, termasuk komedi. Malah, katanya, rezekinya kini lebih kepada cerita komedi.

Seorang yang santai dan ramah, Zarynn atau Noraszarinawati Tumin sangat mesra dan tidak sombong. Katanya, tidak ada apa-apa yang istimewa padanya hingga perlu dikongsikan tetapi tetap ramah melayan pertanyaan.

"Dalam Beli Adik, saya hanya terbabit dalam 17 babak. Beli Adik mempunyai cerita menarik yang mengangkat konflik kekeluargaan.

"Tiada masalah untuk saya merealisasikan watak sebagai ibu dan isteri dalam telefilem ini," katanya.

Mengenai pembabitannya dalam drama komedi, Zarynn berkata, orang mengingatinya dengan karakter kelakar dibandingkan watak serius.

"Selalunya drama berat lebih mudah menjadi pilihan dan mengangkat seseorang pelakon itu untuk menerima anugerah. Sebagai pelakon, saya juga menyimpan impian menang anugerah kerana ia satu pengiktirafan atas kerja yang saya lakukan.

"Namun, saya tidak terlalu mengharap tapi terdetik juga keinginan berada di pentas dan mendapat penghargaan seperti itu," katanya.

Kata Zarynn, kalau tidak ada rezekinya, dia tetap bersyukur kerana rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

"Mana tahu satu hari nanti tiba masa saya pula dapat anugerah. Mungkin ketika itu sudah bawa watak nenek baru dapat merasa. Apa pun, Alhamdulillah kerana sehingga kini rezeki tidak putus. Ada saja yang datang.

"Tidak timbul rasa kecewa pun. Paling penting, saya dapat meneruskan kelangsungan hidup. Dengan keadaan ekonomi sekarang, tidak boleh terlalu memilih. Andai ada tawaran, tidak salah untuk kita terima," katanya.

Lebih 10 tahun menyeburi lakonan, Zarynn akui pada tahap ini dia tidak terlalu memikirkan populariti. Fokusnya hanya berlakon dan memberikan komitmen terbaik.

Katanya, populariti lebih diperlukan pelakon muda dan baru bertapak dalam lakonan. Bagaimanapun, Zarynn tidak menolak hakikat apabila seseorang itu terkenal, dia akan menjadi pilihan utama bagi menjayakan sesebuah karya, sekali gus memberi kelebihan untuk meletakkan harga.

"Populariti itu membantu juga tetapi bagi saya, paling penting dapat meneruskan kehidupan. Sekarang terlalu ramai artis yang muncul. Ada yang berbakat dan ada yang masih perlu belajar.

"Sayanglah, muka lawa tapi bakat tidak seberapa. Ada juga yang kurang menarik tetapi bakat memang lima bintang. Semua pelakon kena bijak mencari ruang dalam keadaan sekarang," katanya.

Beli Adik dijadual bersiaran tahun ini menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ia mengisahkan kanak-kanak yang kesunyian kerana hidup sebagai anak tunggal.

Atas nasihat rakan, dia sanggup pergi bertemu ejen menjual bayi dengan harapan dapat membeli adik untuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:01 AM