POTONGAN serong di bahagian bawah baju menjanjikan kelainan dalam penampilan.
POTONGAN serong di bahagian bawah baju menjanjikan kelainan dalam penampilan.
CORAK abstrak bagi menonjolkan rekaan moden.
CORAK abstrak bagi menonjolkan rekaan moden.
PENGGUNAAN fabrik kapas lembut bercorak di bahagian lengan serta bawah baju dan kain memberi kesan menarik.
PENGGUNAAN fabrik kapas lembut bercorak di bahagian lengan serta bawah baju dan kain memberi kesan menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Gaya yang sederhana, namun masih mengekalkan keanggunan menjadi pilihan kebanyakan wanita hari ini. Berbanding menggayakan busana dengan perincian dan warna keterlaluan, rata-rata lebih gemarkan pakaian yang ringkas untuk digayakan ke pelbagai acara.

Misalnya, rekaan baju tradisional seperti baju kurung, kurung moden, kurung mini dan kebaya ternyata masih ada peminatnya kerana ia lebih sesuai serta mudah digayakan ke pelbagai majlis berbeza.

Pemilik Butik Aiida Vomara Aida Shamiza Shamsudin berkata, pelbagai potongan yang lebih segar ditonjolkan pada helaian baju kurung moden untuk menjadikan penampilan lebih menarik.

Dia dan suaminya, Mohd Nasri Nujman yang juga pemilik bersama butik berkenaan lebih gemar memberi fokus terhadap rekaan baju kurung moden untuk mengekalkan gaya pemakaian tradisional.

Setiap helaian rekaan baju kurung moden di butiknya di Jalan PJS 2/18, Taman Maju Jaya, Petaling Jaya itu diubah dengan idea segar dan berani.

"Potongan yang diketengahkan juga berlainan selain penggunaan campuran fabrik kapas lembut (Itali) dan Valentino bagi menonjolkan kesan lebih menarik pada penampilan.

"Menariknya, setiap helaian dipelbagaikan dengan potongan berlainan pada bahagian baju dan kain. Selain itu, penggunaan fabrik yang selesa dan tidak panas juga memberi kelebihan kepada pemakai menggayakannya penuh selesa sepanjang hari.

"Bukan hanya pemilik bertubuh kurus saja boleh menggayakannya, malah individu yang mempunyai badan berisi juga boleh bergaya kasual, formal mahupun santai ke mana saja," katanya.

Ini kerana setiap helaian baju kurung moden sedia dipakai itu ditawarkan bermula daripada saiz S hingga XXL untuk memberi pilihan kepada pengguna.

Pemilihan kain bercorak dan potongan sederhana sesuai ditampilkan untuk semua acara serta digayakan oleh individu yang mementingkan kesederhanaan namun anggun.

Kain bercorak abstrak mampu menampilkan rekaan moden, tetapi eksklusif itu dapat dilihat pada setiap helaian rekaan terkini baju kurung moden yang boleh didapati di bawah harga RM150.

Selain berkunjung ke butiknya, pengguna juga boleh layari www.Aiidatextiles.com, facebook.com/Aiidatextiles atau Aiida Vomara (Instagram) untuk mengetahui lebih lanjut koleksi terkininya.

Jenama butik Vomara diambil sempena nama tempat iaitu Vomera yang terletak di Itali yang mengingatkan pencinta fesyen mengenai lokasi terkenal dengan ikon fesyen itu.

Bermula pada 2011, Aida Shamiza bermula dengan menjual tekstil secara dalam talian, ketika itu dia masih bekerja dan melakukan perniagaan secara sambilan.

Selepas mendapati permintaan semakin meningkat, dia dan suaminya nekad berhenti kerja pada 2012 bagi memberi sepenuh perhatian terhadap perniagaannya itu.

"Saya dapat belajar mengenai kepelbagaian jenis dan ciri tekstil. Pada masa sama, saya cuba untuk mempelbagaikan produk dengan menghasilkan baju kurung moden berbeza potongan mengikut trend semasa.

"Saya bermula dari bawah dengan mengenal jenis fabrik yang sesuai agar ia menepati cita rasa pengguna," katanya yang turut menerima tempahan untuk jahitan.

Dia dan suaminya juga merancang untuk menghasilkan rekaan tudung serta pakaian suai dan padan bagi memudahkan pengguna memilih gaya diinginkan mengikut cita rasa sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:22 AM