UNTUK mereka yang inginkan gaya moden dan elegan.
UNTUK mereka yang inginkan gaya moden dan elegan.
Siti Zarinah Sahib


KURUNG moden sentiasa mendapat tempat di hati penggemarnya kerana sesuai digayakan dalam apa juga acara dan majlis. Lazimnya kurung moden menjadi pilihan wanita yang mahu tampil sopan dan anggun di tempat kerja atau menghadiri majlis korporat dan formal.

Koleksi Inaara mempelbagaikan rekaan khusus untuk memenuhi permintaan dan cita rasa. Memilih material como crepe, busana yang terhasil cantik beralun, tidak melekat pada tubuh, tidak mudah renyuk dan senang digosok.

Menurut pasangan suami isteri, Nursuraya Dzulkefli dan Mohd Shamsul Shariffudin, selain butik di Kepala Batas, Pulau Pinang mereka turut menawarkan penjualan menerusi dalam talian dan rata-rata wanita memberi reaksi positif setiap kali melanggan di butiknya.

“Kami sering mendengar pendapat dan bertukar-tukar idea dengan mereka yang sentiasa mahu tampil menarik memakai kurung moden walaupun sentiasa padat dengan jadual kerja. Ramai juga yang mencari fabrik polos dengan warna pastel atau terang tanpa perician manik atau labuci.

“Bagaimanapun, untuk menampilkan kelainan, rekaan kami dipelbagaikan di bahagian lengan, hujung baju dan kain dengan sedikit jahitan batu kristal. Ia bukan saja sesuai digayakan ke tempat kerja tetapi juga selesa dipakai pada musim perayaan,” katanya.

Mengikuti perkembangan semasa, jenama ini turut menyediakan padanan fesyen untuk ibu dan anak dalam warna terang. Setiap helaian ditawarkan diberi nama tersendiri agar memudahkan koleksi berkenaan dilabel oleh pembeli terutama melalui butik dalam talian.

“Misalnya koleksi Kayra yang mempunyai sedikit sentuhan sulaman di hujung baju yang manis digayakan oleh eksklusif muda bertubuh kecil dan sederhana manakala koleksi Arynna sesuai untuk yang bertubuh sederhana. Kedua-duanya boleh dipadan dengan tudung atau selendang panjang polos atau bercorak.

Koleksi Lafeera pula menampilkan fesyen suai padan antara ibu dan anak yang sesuai digayakan pada Aidiladha ini. Koleksi ini tersedia sehingga ke saiz wanita bertubuh besar dan gempal. Sementara koleksi Arynna, untuk si genit yang sentiasa cantik bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 1:45 AM