DZEKO (tengah) sandaran robek gawang Middlesbrough.
DZEKO (tengah) sandaran robek gawang Middlesbrough.
AFP

Manchester: Manuel Pellegrini mengakui Manchester City tidak boleh leka jika tidak mahu tersingkir daripada saingan Piala FA menentang kelab liga bawahan, Middlesbrough malam ini.

City menghabiskan minggu lalu dengan menjalani latihan di bawah cuaca panas di Abu Dhabi sebelum kembali ke England untuk pertemuan itu.

Mereka tiba lewat semalam dan kurang 24 jam, City perlu bersedia menangani skuad Middlesbrough yang dipimpin Aitor Karanka di pusingan keempat Piala FA di Eastlands.

Pellegrini berkata, juara 2011 itu perlu berada pada tahap terbaik untuk layak ke peringkat seterusnya.

“Saya jangkakan perlawanan sengit. Mereka berada di landasan terbaik menjulang Liga Kejuaraan dan dipimpin pengurus hebat,” kata Pellegrini.

“Saya yakin jika kami tidak bermain 100 peratus, kami pasti berdepan masalah layak ke pusingan seterusnya dan justeru, kami perlu cemerlang menentang lawan yang hebat seperti itu.

“Mereka mungkin tidak berada di Liga Perdana Inggeris namun mereka berusaha untuk bermain di liga utama itu.”

City mahu bangkit daripada kekalahan 2-0 di tangan Arsenal pada perlawanan terakhir dan mengakibatkan anak buah Pellegrini ketinggalan lima mata berbanding pendahulu Chelsea.

City mungkin merehatkan pemain tengah, Frank Lampard yang mengalami kecederaan pinggul ketika perlawanan pemanas badan menentang kelab Jerman, Hamburg SV yang menyaksikan mereka menang 2-0.

Begitupun, Edin Dzeko, pemain yang meledak jaringan pada perlawanan itu sudah boleh diturunkan manakala penjaga gol Willy Caballero mahu sekali lagi mempamerkan kebolehan andai diberi peluang kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:17 AM