Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Bagi penggemar fesyen tempatan, Azura Couture bukan nama asing di negara ini. Melangkah masuk ke butik pereka fesyen dan pemilik jenama itu pasti membuat sesiapa saja terutama wanita terpesona dengan rekaan eksklusif dan glamor hasil sentuhan Nor Azura Mazaruddin.

Berkecimpung dalam industri fesyen selama lebih lapan tahun pastinya menjadikan setiap rekaan yang dihasilkan sentiasa diberi perincian tersendiri. Manakan tidak, busananya menjadi pilihan ramai artis terkenal tanah air baik untuk ke majlis prestij mahupun perkahwinan.

Bagaimanapun, Azura, 31, kini mengorak selangkah ke depan dengan menghasilkan rekaan berkonsep kasual, tapi masih mengekalkan ciri elegan pada setiap rekaan yang dinamakan Shelle Belle bagi koleksi 2015.

Jika sebelum ini, fokus rekaannya untuk majlis perkahwinan dan majlis tertentu, namun hasil maklum balas ramai pelanggan mahukan busana sedia dipakai hasil sentuhannya supaya memudahkan mereka datang ke butik dan terus memilih.

“Shelle Belle mempunyai keistimewaannya, malah ia dekat di hati saya kerana perkataan itu sendiri saya gunakan dalam kala­ngan keluarga untuk bergurau senda. Boleh dikatakan penghasilan rekaan itu mendapat inspirasi daripada mereka.

“Pada awalnya saya melakukan penyelidikan me­ngenai cara kami adik beradik berpakaian, mahu nampak cantik, tapi pada masa sama perlu selesa. Kebanyakan pakaian yang kelihatan cantik, tak semestinya selesa dipakai.

“Ada kalanya kita me­nggayakan pakaian kerana mahu mengikut peredaran fesyen, tapi mengalami kesukaran untuk bergerak ke sana sini, jadi saya buat pe­nyelidikan ini agak lama dengan mencuba rekaan sendiri ke tempat kerja, pelbagai acara, malah adik saya dan pelanggan tetap juga saya minta mereka pakai.

“Saya mendapat maklum balas yang baik, sebab itu saya hasilkan Shelle Belle ini,” kata pemegang Ijazah Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini.

Dia turut melakukan percubaan dengan mengeluarkan koleksi Shelle Belle edisi Aidilfitri tahun lalu, namun hanya dengan jumlah terhad bagi mendapatkan reaksi pelanggan. Hasil maklum balas positif itu, tahun ini Shelle Belle menampilkan rekaan yang sesuai dipakai untuk semua acara, perayaan, mahupun bekerja.

Lebih menarik, koleksi yang terdiri daripada padanan skirt labuh, blaus dan seluar yang juga boleh dipadankan secara suai padan ini didatangkan dengan pelbagai saiz daripada S hingga XL.

Koleksi Shelle Belle bertemakan kasual dan santai menjadikannya sesuai dipakai ke mana jua. Fokus koleksi ini adalah pakaian yang sederhana dan tidak terlalu menonjol, tapi masih mengekalkan keunikan tersendiri.

Semestinya ilham menghasilkan koleksi ini kerana mahu semua wanita pelbagai saiz dan potongan badan atau bagi mereka yang bukan dikategorikan berbadan cantik dapat bergaya dengan menarik dan selesa.

“Saya bukanlah tergolong wanita yang memiliki potongan badan persis model, jadi saya tahu bahagian tertentu pada badan wanita yang perlu disembunyikan melalui rekaan, corak, fabrik dan warna yang sesuai dipadankan,” kata anak jati Kuala Pilah ini.

Bagi koleksi ini, pemilihan fabrik amat penting untuk memastikan pemakai benar-benar selesa. Material kain yang digunakan mestilah fabrik yang tidak mudah berpeluh dan tidak mudah berkedut antaranya sifon berkualiti tinggi yang boleh dipakai dengan selesa.

Sebagai pelengkap gaya, koleksi ini juga akan didatangkan dengan koleksi tudung khas di bawah label Azura Couture untuk memberi pilihan kepada Muslimah berhijab tampil elegan dan bergaya, tapi masih mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan.

Menurutnya, trend fesyen tahun ini pastinya rekaan ringkas yang akan menjadi pilihan ramai sama ada pilihan pakaian seharian mahupun busana raja sehari.

“Trend pilihan warna juga berubah dengan tahun ini lebih kepada permainan dua warna iaitu warna gelap yang dipadankan dengan warna yang sedikit menonjol. Jika bercorak, ia melatari busana dengan corak yang minimalis,” katanya.

Koleksi Shelle Belle akan dilancarkan dalam masa terdekat dan memasuki pasaran menerusi Instagram azuracouture dan FB azuracouture manakala pakaian tempahan khas bagi majlis perkahwinan dan acara tertentu serta pakej perkahwinan menerusi butik Azura Couture yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:23 AM