OMAR (dua dari kanan) dipanggil untuk melatih penjaga gol skuad B-22 negara.
OMAR (dua dari kanan) dipanggil untuk melatih penjaga gol skuad B-22 negara.
Oleh Aziman Rosdi


Kelana Jaya: “Saya tidak pernah lari daripada tugas. Itu kenyataan jurulatih penjaga gol Harimau Muda A Yong Wai Hwang yang dikatakan enggan membantu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara kendalian Razip Ismail bagi persiapan kelayakan AFC B-23 Mac depan.

Beliau berkata, hingga kini tiada hitam putih mengatakan beliau ditugaskan menyertai skuad B-22 sebaliknya hanya satu panggilan telefon daripada Razip yang memintanya melaporkan diri semalam.

“Saya tidak pernah larikan diri daripada tugas. Kalau mereka arahkan saya untuk bersama Razip saya sanggup, cuma perlu lakukan secara profesional dan adil bagi saya. Dalam kontrak, saya tidak terbabit dengan pasukan ini. Tidak boleh salahkan saya kalau tidak hadir dalam latihan kerana kontrak saya berkerja dengan Datuk Ong Kim Swee (jurulatih Harimau Muda A).

“Saya tidak tahu diperlukan dalam pasukan ini kerana sepatutnya mereka sudah ada staf kejurulatihan sendiri. Kalau terus menyertai skuad itu, saya tidak tahu sama ada khidmat diperlukan atau tidak, nanti ada orang pertikaikan pula,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Isu ini timbul apabila ada pihak yang mempertikaikan ketiadaan Wai Hwang dalam skuad B-22 selepas penolong jurulatih Kim Swee daripada Harimau Muda A Rusdi Suparman dan jurulatih kecergasan Rastislav Bozik sudah diserapkan untuk membantu Razip.

Masalah ini memaksa jurulatih penjaga gol Harimau Malaya Omar Salim turun padang membantu pasukan muda negara itu selepas hampir dua bulan posisi itu tidak diisi berikutan ketiadaan Mazlan Wahid yang tidak menyambung kontrak bersama Harimau Muda B hujung tahun lalu.

“Dalam kontrak, saya bertugas dengan Kim Swee bagi persiapan Sukan SEA dan itu sudah diluluskan Datuk Seri Afandi Hamzah (Timbalan Presiden FAM dan Pengurus Harimau Muda A) sendiri. Saya tidak mendapat sebarang hitam putih mengenai tugas bersama Razip. Jika mereka perlukan khidmat saya, mereka boleh perjelaskan hal ini terlebih dulu,” kata Wai Hwang.

Sementara itu Razip pula menjelaskan beliau terpaksa meminta khidmat Omar memandangkan pasukannya tidak mempunyai jurulatih penjaga gol.

“Memang sebelum ini saya tidak ada jurulatih penjaga gol dan memandangkan Omar sudah tiada tugasan dengan skuad kebangsaan buat masa ini, saya gunakan khidmatnya sementara sekurang-kurangnya hingga Kelayakan AFC. Pengalaman beliau bersama pasukan negeri dan kebangsaan akan dapat membantu pasukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:06 AM